
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/FB Lee Ting Han (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 12 Ogos (MalaysiaAktif) – Sebanyak 29 pasar raya di Johor mula menggunakan aplikasi Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) sejak semalam selepas ia dilancarkan 27 Jun lalu bagi mengelakkan ketirisan minyak masak paket bersubsidi.

Lee Ting Han (kiri) bersama pegawai daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor memeriksa stok bekalan minyak masak paket bersubsidi di Pasar Raya Maslee B5 Johor Street Market.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han, berkata aplikasi berkenaan hanya digunakan semasa Jualan Rahmah sahaja dan bermula semalam ia mula diperluaskan ke beberapa pasar raya di Johor.
“Dengan adanya aplikasi eCOSS ini, kita dapat mengurangkan ketirisan dalam penjualan minyak masak paket bersubsidi yang mana setiap bulan Johor akan menerima hampir 3.3 juta minyak masak paket bersubsidi dan dijual kepada golongan yang sepatutnya, bukan kepada warga asing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan aplikasi eCOSS di Pasar Raya Maslee B5 Johor Street Market, di sini semalam.
Dalam pada itu, Lee berkata kerajaan negeri mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan mengkaji semula peraturan sedia ada untuk membolehkan tindakan tegas dapat dikenakan kepada pemilik kenderaan pendaftaran asing yang mengisi minyak petrol RON95 bersubsidi di negara ini.

KPDN Johor akan menempatkan pegawai di kaunter jualan di semua 29 pasar raya yang terlibat selama lima hari bermula 11 hingga 15 Ogos ini bagi membantu orang awam memahami berkenaan aplikasi eCOSS.
“Ketika ini tindakan yang diambil hanya kepada pemilik stesen minyak sahaja dan kita harap peraturan yang sedia ada dapat ditambah baik agar penguatkuasaan larangan pembelian RON95 bersubsidi oleh kenderaan asing dapat diambil tindakan yang tegas oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“KPDN Johor telah mengesan dua kes melibatkan kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi RON95 di sebuah stesen minyak di Nusa Sentral, Iskandar Puteri dan di Lebuhraya Senai-Desaru (SDE).
“Dan baru-baru ini tular di media sosial seorang pemilik kenderaan mewah bernombor pendaftaran Singapura mengisi RON95 ke dalam sebuah botol plastik besar di sebuah stesen minyak di Nusa Sentral,” katanya.
-RI





