Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Sukan Bendang Kembalikan Semangat Kebersamaan dan Warisan Permainan Tradisi Masyarakat Desa – Saarani

By 12 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)

TELUK INTAN, 12 Ogos (MalaysiaAktif) – Penganjuran sukan bendang dapat mengembalikan semangat kebersamaan di samping mengangkat warisan tradisi yang membentuk jati diri masyarakat desa.

“Inisiatif ini dilihat sebagai sesuatu yang sangat bernilai apatah lagi apabila ia diperkenalkan kepada generasi muda masa kini.

Saarani (tengah) terhibur ketika menyaksikan acara pukul bantal atas titi.

“Ramai di antara mereka tidak pernah merasai keseronokan berkubang di bendang, bermain lumpur dan bersaing secara sihat sambil bergelak ketawa,” kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dalam ucapan perasmian Karnival Sukan Bendang Komuniti Perak Sejahtera 2030 di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang, Sungai Manik, di sini kelmarin.

Saarani turut memuji usaha penganjur yang menggabungkan unsur moden seperti e-sukan dan Fun Run D’Bendang bagi mewujudkan keseimbangan dalam meraikan tradisi tanpa menolak kemajuan.

Karnival dengan 100 acara yang dipertandingkan itu berjaya menarik penyertaan peserta daripada pelbagai peringkat umur.

Program anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Permatang dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Permatang dimeriahkan dengan pelbagai acara sukan bendang termasuk panjat tiang licin, tarik tali, pukul bantal atas titi dan menggagau ikan.

Sewaan ATV oleh JPKK Kampung Permatang antara aktiviti yang mendapat sambutan ramai.

Sementara itu, Pegawai Daerah Hilir Perak Mufidah Mahfodz berkata kehadiran Saarani bukan sahaja menjadi penyuntik semangat malah membuktikan keprihatinan kepimpinan negeri terhadap pembangunan masyarakat, ekonomi tempatan dan kelestarian warisan budaya.

“Penganjuran sukan bendang ini selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang merangkumi keterjaminan makanan, agropelancongan, gastro-tourism (pelancongan makanan) dan berperanan memelihara warisan sukan dan tradisi desa di samping memupuk perpaduan, mengukuhkan jaringan komuniti dan merancakkan ekonomi setempat,” ujarnya.

Tambah Mufidah sukan bendang akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan tahunan daerah dan diharap mampu menjadikan Hilir Perak sebagai destinasi pelancongan desa yang terkenal di peringkat negeri dan kebangsaan.

-RI

Tinggalkan komen anda