Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Penantian 17 Tahun Berakhir, Hospital Parit Buntar Bakal Operasi September Ini

By 27 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Marshita Othman (Kerian)

PARIT BUNTAR, 27 Ogos (MalaysiaAktif) – Bangunan Hospital Parit Buntar yang mencecah RM173.3 juta kos pembinaannya telah siap terbina bagi kegunaan penduduk setempat dan akan mula beroperasi 3 Sept ini.

Gimik majlis perasmian penyerahan ‘kunci’ Hospital Parit Buntar yang bakal beroperasi September ini.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni, projek tersebut yang dinantikan oleh penduduk setempat selama 17 tahun telah diserahkan Kementerian Kerja Raya (KKR) kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Hospital yang siap sepenuhnya pada 24 Julai yang lalu, melibatkan enam blok bangunan setinggi tiga tingkat dengan kapasiti 76 katil.

“Ia dilengkapi kemudahan moden termasuk dua dewan bedah, 25 katil di Unit Kecemasan, empat katil kritikal, lapan katil separa kritikal, kerusi rawatan segera, kerusi pesakit asma serta bilik konsultasi termasuk One Stop Crisis Center (OSCC),” katanya, di sini semalam.

Lawatan ke kawasan Hospital Parit Buntar oleh Timbalan Menteri Kesihatan.

Tambahnya lagi, hospital itu dijangka menjadi fasiliti kesihatan utama yang bakal memberi manfaat kepada masyarakat Parit Buntar dan kawasan sekitarnya yang sedang pesat membangun.

Majlis penyerahan disempurnakan Pegawai Penguasa Projek Ir. Suzzana Punari kepada Datin Paduka Roslinah Md Jani yang mewakili KKM.

Turut hadir Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Datuk Wira Ir. Roslan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Sivanesan Achalingam serta Ahli Dewan Negara Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf Rawa.

-RI

Tinggalkan komen anda