Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Perarakan HKHM 2025 Semai Semangat Kebangsaan Masyarakat Pekan Song

By 17 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Hamzah Bohari/ Daniel Gagat (Sarawak)

SONG, 17 Ogos (MalaysiaAktif) – Program JIWA@Komuniti MADANI sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 Peringkat Daerah Song disambut penuh semangat patriotik melalui perarakan mengelilingi Pekan Song, pagi kelmarin.

Lidam menyempurnakan acara perlepasan untuk perarakan bermula mengelilingi Pekan Song.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan ketika dalam ucapan perasmiannya berkata Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 yang bakal tiba bukan sekadar untuk memperingati detik kemerdekaan tetapi bertujuan menyemai semangat cinta akan negara dalam kalangan rakyat demi memastikan kemakmuran dan keamanan negara terus terpelihara.

“HKHM juga untuk kita semai semangat kebangsaan dan menghargai jasa para pejuang tanah air yang berkorban mencapai kemerdekaan dan untuk kita mengekalkannya,” katanya.

Penglibatan pelbagai lapisan masyarakat yang diketuai Lidam berarak sambil membawa Jalur Gemilang juga memperlihatkan jiwa patriotik yang mendalam masyarakat di Song.

Bagi Ketua Komuniti MADANI Pekan Song Jampong Balong beliau bersyukur kerana ramai masyarakat pelbagai keturunan dan agama hadir menyemarakkan sambutan berkenaan yang dilihat sebagai cerminan perpaduan.

Perarakan penuh semangat masyarakat setempat bersama Jalur Gemilang sekitar Pekan Song.

“Program HKHM kelolaan Pejabat Penerangan Daerah Song bukan sahaja berkisarkan semangat kebangsaan semata-mata tetapi juga merealisasikan konsep Malaysia MADANI di sini dan wajar terus dilaksanakan pada masa hadapan,” ujar Temenggung Masyarakat Cina Toh Zhe Hua, ketika ditemui di lokasi perlepasan peserta perarakan.

Perarakan yang bermula 7 pagi itu disertai lebih 300 peserta terdiri daripada agensi kerajaan, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pasukan beruniform dan ahli Komuniti MADANI.

-RJ-

Tinggalkan komen anda