Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Bot Laju Bawa Jalur Gemilang Selusuri Sungai Balingian

By 17 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Mohammad Abd Rahman / Wirwan Nor Rama (Sarawak)

BALINGIAN, 17 Ogos (MalaysiaAktif) – Jalur Gemilang berkibar megah apabila dibawa menelusuri Sungai Balingian, oleh 10 buah bot laju peserta konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 dan ahli Komuniti MADANI Balingian di sini, kelmarin.

Jalur Gemilang megah berkibar menelusuri Sungai Balingian.

Perjalanan sejauh 17.39 kilometer bermula di limbungan mini Esplaned Balingian, menyajikan panorama hutan nipah dan bakau sekali gus menonjolkan keunikan KMJG kali ini.

“Program dan sambutan KMJG kali ini sungguh unik kerana inilah pengalaman pertama saya sebagai peserta konvoi menaiki bot laju membawa Jalur Gemilang dalam keadaan air sungai yang sentiasa beralun dan rasa ketakutan itu sememangnya ada tetapi keterujaan termasuk semangat patriotik itu mengatasi segalanya,” ujar Rohana Said, 51, salah seorang peserta KMJG.

Penduduk Balingian, Nuris Bangi, 35, berpendapat walaupun deretan pekan kecil di situ hanya beroperasi dari jam 7 pagi hingga 4 petang namun setiap tahun mereka dan warga setempat tetap setia mengibarkan Jalur Gemilang.

“Demi rasa cinta kepada negara dan sebagai contoh kepada generasi muda, kami tanpa rasa terpaksa menyahut seruan kerajaan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah dan premis perniagaan di sini setiap tahun,” katanya.

Kibaran Jalur Gemilang penuh semangat ketika Sambutan KMJG di Rumah Panjang Ebbie Gat, Sungai Seteras, Balingian.

Perjalanan menggunakan bot laju tersebut berakhir di jeti kampung Kuala Balingian dan peserta bergerak ke dewan untuk acara sambutan KMJG.

Terdahulu, konvoi KMJG singgah di Pasar Lama Balingian dan ke Kampung Batu Lintang bagi acara di Sambutan Bulan Kebangsaan Rumah Panjang Ebbie Gat, Sungai Seteras yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Balingian Abdul Yaakub Arbi.

-RJ-

Tinggalkan komen anda