Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Perlis GSA FC: Perjuang Bakat Anak Watan

By 27 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini/Siti Nur Balqis           

KANGAR, 27 Ogos (MalaysiaAktif) – Pasukan bola sepak Perlis GSA FC kini tampil sebagai sebuah kelab yang disertai anak watan dari seluruh pelosok negeri Perlis.

Melalui perjalanan panjang sejak awal penubuhannya pada tahun 2016 di Kampung Guar Syed Alwi, kelab berkenaan mengangkat semangat komuniti dengan melahirkan bakat muda dalam sukan bola sepak sebelum berjaya menempatkan diri dalam kancah Liga A1 Semi-Pro Malaysia 25/26.

Perlis GSA FC Ketika menentang Perak FA pada Ahad lalu. (Kredit foto – Facebook Perlis GSA FC).

Ditubuhkan dengan matlamat menggilap potensi anak muda tempatan, Kelab Bola Sepak Guar Syed Alwi (GSA FC) pada awalnya hanyalah sebuah kelab komuniti yang menganjurkan perlawanan persahabatan di peringkat kampung.

Namun, usaha berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila pada tahun 2022, pasukan itu menyertai Kejohanan Liga Bola Sepak Perlis anjuran Majlis Sukan Negeri Perlis buat pertama kalinya.

Tahun berikutnya, GSA FC melangkah lebih jauh dengan didaftarkan secara rasmi di bawah Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Langkah itu memperkukuh struktur pengurusan kelab sekali gus membolehkan pasukan tampil lebih tersusun dan profesional.

Kejayaan kemuncak hadir apabila GSA FC muncul juara Liga Super Perlis 2023 (Liga M5).

Momentum tersebut diteruskan pada 2024 apabila GSA FC mencipta sejarah tersendiri dengan menjuarai Kejohanan Liga A2 anjuran Al-Ikhsan Cup setelah menewaskan Kelantan WTS FC dalam perlawanan akhir yang sengit.

Amar Rohidan sentiasa memberi sokongan kepada anak muda dalam arena bola sepak.

Menurut Pengurus Pasukan Amar Rohidan, kejayaan itu menjadi bukti bahawa pemain tempatan mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

“Kekuatan pasukan ini terletak pada semangat setia kawan dan sokongan setiap satu pemain.

“Kami percaya bola sepak bukan sahaja tentang kemenangan di padang, tetapi juga pembangunan untuk generasi muda dan pelapis serta penyatuan masyarakat setempat,” ujarnya ketika ditemui dalam sesi latihan pada petang semalam  di Sekolah Kebangsan Jalan Raja Syed Alwi.

Memasuki tahun 2025, kelab tersebut membuat anjakan baharu dengan menukar nama rasmi kepada Perlis GSA FC serta memperkenalkan logo terbaharu sebagai simbol identiti dan visi masa depan.

Transformasi itu menandakan permulaan fasa baharu dengan sasaran lebih besar, iaitu membawa nama Perlis ke pentas kebangsaan.

Dengan sokongan padu masyarakat serta komitmen pengurusan, pasukan ini diyakini mampu melakar sejarahnya yang tersendiri.

-RI

Tinggalkan komen anda