Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

PUSPEN Bukan Tempat Hukuman, Sebaliknya Rumah Harapan Buat Klien

By 13 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Manjasari Shamsudin (Sepang)

SEPANG, 13 Ogos (MalaysiaAktif) – Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) adalah pusat pemulihan dadah yang menyediakan program rawatan dan pemulihan kepada mana-mana individu yang disahkan sebagai penagih dadah oleh mana-mana Pegawai Perubatan Berdaftar.

Zahid ketika merasmikan Transform Gym PUSPEN Dengkil.

“PUSPEN sebagai Rumah Harapan bagi mereka yang sedang menjalani rawatan dan pemulihan sekali gus menegaskan bahawa pemulihan bukan hanya soal perubatan tetapi membabitkan sokongan menyeluruh termasuk kesihatan mental, fizikal dan sokongan komuniti,” kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian ketika melawat Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Dengkil, di sini semalam.

Lawatan bertujuan meninjau pelaksanaan program rawatan dan pemulihan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta mengenal pasti keperluan dan sokongan tambahan kepada fasiliti yang digunakan oleh klien dalam proses pemulihan.

Ia juga turut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan setiap individu yang terkesan dengan penagihan dadah diberi peluang kedua untuk kembali menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Ahmad Zahid turut merasmikan pelancaran Transform Gym iaitu fasiliti kecergasan yang dibangunkan hasil sumbangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sebuah inisiatif selaras usaha memperkasa elemen kecergasan fizikal dalam proses pemulihan dadah.

Zahid diiringi Menteri Belia dan Sukan bersama Ketua Pengarah AADK melawat fasiliti yang disediakan di Transform Gym.

Beliau turut melawat projek tanaman rockmelon yang diusahakan klien yang sedang menjalani program rawatan dan pemulihan di PUSPEN Dengkil.

Projek berkenaan merupakan modul Latihan Kemahiran dan Vokasional menerusi Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) yang bertujuan sebagai terapi kepulihan dan perkembangan kerjaya.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh.

-RI

Tinggalkan komen anda