
Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 30 Ogos (MalaysiaAktif) – Kehadiran pemimpin negara dan rakyat dalam program memberi mesej jelas bahawa misi al-Quran tidak akan terhenti.
Acara bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Masjid Negara, Kuala Lumpur itu mendapat sokongan penuh kerajaan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, duta-duta, mufti-mufti, ketua jabatan dan pencinta al-Quran.

Dewan solat Masjid Negara dipenuhi pencinta al-Quran.
Program Malaysia #QuranHour 2025 itu sebahagian daripada program sisipan oleh Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia 2025 yang menzahirkan komitmen kerajaan dan masyarakat dalam usaha membumikan al-Quran sebagai panduan hidup rakyat Malaysia.
Edisi ke-11 dengan tema ‘Merdeka Dengan Rasa’ yang berpandukan Surah Al-Saff, Surah Ali ‘Imran dan Surah Al-Balad berlangsung selama sejam dari 12 tengah hari hingga 1 tengah hari tadi.
Ia mengajak seluruh lapisan masyarakat daripada pemimpin, pembina dasar, penjawat awam hingga rakyat untuk menjiwai rasa empati seperti yang dicontohkan oleh khalifah terdahulu.
Kisah Umar Abdul Aziz yang menyantuni rakyat dengan jiwa kepemimpinan penuh rahmah menjadi teladan bahawa pemimpin bukan sekadar pemerintah, tetapi pelindung ummah.

Program Malaysia #QuranHour 2025 di Masjid Negara adalah sebahagian daripada program sisipan Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia 2025.
Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal itu dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan selaku penaja utama.
Rakan sinergi terlibat pula antaranya Masjid Negara Kuala Lumpur, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia serta badan kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara.
Dengan suara pemimpin, pembina dasar, penjawat awam dan rakyat yang berpadu, Malaysia mampu membina sebuah negara Madani yang berakhlak luhur, berempati tinggi dan dipandu wahyu.
-RI





