
Laporan/foto: Marshita Othman (Kerian)/Mohammad Ezwandi
TANJUNG PIANDANG, 6 Ogos (MalaysiaAktif) – Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK (C)) Nam Hua ‘menggelorakan’ kempen Kibar Jalur Gemilang apabila menjadi lokasi persinggahan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 (KMJG 2025) di daerah Kerian, kelmarin.

Pelepasan konvoi KMJG ke Pulau Pinang oleh Pegawai Daerah Kerian.
Menurut Pegawai Daerah Kerian Saidi Shaari, pemilihan sekoah berkenaan adalah sebagai simbolik penglibatan pelbagai kaum dan merupakan penyertaan kali pertama sekolah tersebut.
“Semoga program ini dapat merancakkan lagi nilai patriotik dalam setiap insan bukan sahaja di daerah malah menyeluruh ke pelusuk Malaysia demi memperjuangkan erti sebuah kemerdekaan,” katanya kepada MalaysiaAktif.
Katanya, program itu membawa satu visi bagi penerapan semangat patriotisme bukan hanya dalam kalangan penjawat awam malah turut dirasai pelbagai peringkat umur terutamanya masyarakat berbilang kaum.

Pertunjukan bomba membawa Jalur Gemilang untuk pelepasan konvoi.
KMJG 2025 daerah Kerian diselaraskan Pejabat Penerangan Daerah Kerian mengetengahkan pertunjukkan luncur keluang daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum pelepasan konvoi yang diketuai Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Perak Yosri Abu Mahsin ke destinasi seterusnya iaitu Masjid Sungai Acheh, Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kerian Zolkefli Jamaluddin, Ketua Polis Daerah Kerian Supt. Jafri Mad Zain, Setiausaha Majlis Daerah Kerian Norhafisah Mohamad serta ketua jabatan daerah Kerian.
-RI





