
Laporan/foto: Mahathir Mohd Kamal/ Mohd Fadzhel Ramneh (Kota Belud)
KOTA BELUD, 6 Ogos (MalaysiaAktif) – Penantian para nelayan Kampung Bira-Biraan untuk memiliki penempatan yang lebih selesa akhirnya terjawab menerusi Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN).

Dr Jeffrey menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek PSN di Kampung Bira-Biraan, Kota Belud.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata, projek tersebut merupakan manifestasi aspirasi bersama kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dalam meningkatkan taraf hidup nelayan sebagai salah satu agenda sekuriti makanan negara.
Jelasnya, projek tersebut dibangunkan menerusi peruntukan yang dibiayai bersama antara kedua-dua pihak masing-masing RM19 juta untuk perumahan daripada kerajaan persekutuan dan RM11.8 juta untuk pembinaan infrastruktur asas di bawah kerajaan negeri.
“Kerana kawasannya yang strategik, potensi ekonomi dapat diperkasa melalui aktiviti perikanan, pelancongan komuniti dan pembangunan luar bandar, justeru dapat meningkatkan taraf hidup peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat melalui kegiatan hiliran seperti hasil laut, agro pelancongan dan keusahawanan desa.
“Kerajaan telah menelusuri pelbagai cabaran sejak peringkat perancangan projek termasuk isu status tapak dan kekangan akibat pandemik COVID-19, namun tetap komited memastikan kebajikan golongan nelayan tidak terabai,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Kampung Bira-Biraan, di sini pada Isnin.

Dr Jeffrey (tiga dari kiri) diberi penerangan mengenai pelan Projek PSN yang bakal dibangunkan di Kampung Bira-Biraan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Kampung Bira-Biraan, di sini pada Isnin, mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri Sabah, Dr Jeffrey turut mengingatkan semua pihak yang terlibat agar menitikberatkan aspek keselamatan dan kualiti kerja sepanjang pelaksanaan projek.
“Rumah yang dibina mestilah benar-benar memberi keselesaan kepada nelayan yang bakal mendudukinya, dan saya berharap projek ini dapat dijadikan contoh kepada kawasan pesisir pantai yang lain di seluruh negeri,” ujarnya.
Untuk makluman, projek tersebut melibatkan pembinaan 200 unit rumah atas tanah dengan keluasan 650 kaki persegi, lengkap dengan kemudahan jalan raya, sistem perparitan, bekalan air bersih dan sistem bekalan elektrik, yang dijangka siap sepenuhnya pada 31 Julai 2027.
-RJ-





