Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanKedah

Sua Mesra KDN Tarik Ribuan Pengunjung di Bandar Baharu

By 25 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)

BANDAR BAHARU, 25 Ogos (MalaysiaAktif) – Ribuan masyarakat setempat membanjiri Dataran Bandar Baharu, di sini seawal pagi bagi menyertai Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang berlangsung penuh meriah dengan pelbagai pengisian bermanfaat, Jumaat lepas.

Antara tarikan utama yang mencuri tumpuan ialah demonstrasi Pasukan Maritim Malaysia di Sungai Kerian yang menampilkan aksi helikopter dan jet ski, sekali gus mengujakan para pengunjung.

Saifuddin (berdiri tengah) bersama pegawai-pegawai KDN.

Turut diadakan aktiviti sukan rakyat, pameran agensi di bawah KDN, tawaran diskaun saman trafik sehingga 50 peratus, program Jom Exchange al-Quran, kaunter perkhidmatan Imigresen, perkhidmatan MEKAR (JPN), serta Jualan Rahmah yang menawarkan barangan asas pada harga mampu milik.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata penganjuran program Sua Mesra adalah usaha berterusan kementerian untuk mendekatkan agensi di bawah KDN dengan masyarakat.

“Inisiatif ini bukan sahaja membuka peluang orang ramai mengenali fungsi setiap jabatan, malah mengeratkan lagi hubungan antara kerajaan dan rakyat,” katanya.

Seorang pengunjung, Azman Ahmad, 56, berkata beliau hadir seawal pagi bagi menyaksikan demonstrasi Maritim Malaysia sambil membeli barangan keperluan di Jualan Rahmah MADANI.

Saifuddin bersalaman dengan rakan lamanya yang turut hadir.

“Peluang melihat helikopter dan pasukan khas dari jarak dekat amat jarang diperoleh. Anak-anak saya pula sangat teruja kerana dapat bergambar bersama anggota Maritim,” katanya.

Program Sua Mesra KDN di Bandar Baharu sekali lagi membuktikan komitmen kerajaan dalam mendekati rakyat melalui pendekatan mesra komuniti, selain menyatukan agensi kerajaan dan masyarakat dalam suasana penuh harmoni.

-RI

Tinggalkan komen anda