
Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar
BACHOK, 31 Ogos (MalaysiaAktif) – Pertandingan Swafoto Kreatif Merdeka yang dianjurkan sempena program JIWA@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 Daerah Bachok berjaya mencetuskan kelainan serta memeriahkan suasana sambutan tahun ini.
Pertandingan anjuran kesemua sembilan Komuniti MADANI Daerah Bachok itu menggalakkan orang ramai merakam gambar swafoto kreatif berlatarkan Jalur Gemilang, hiasan kemerdekaan atau lokasi ikonik setempat, sebelum memuat naiknya ke Facebook secara umum dengan tanda pagar rasmi pertandingan.

Swafoto bersama pemenang pakaian beragam HKHM 2025 Komuniti MADANI Tawang Bestari.
Inisiatif ini menjadikan media sosial turut dihiasi wajah-wajah ceria rakyat Bachok yang penuh dengan semangat patriotik.
Lebih menarik, pertandingan tersebut disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah, belia, ibu bapa, warga emas malah komuniti kaum Tionghoa.
Kehadiran mereka melambangkan keunikan masyarakat berbilang kaum yang tetap bersatu di bawah satu bendera.
Jurucakap Utama Komuniti MADANI Daerah Bachok, Zahari Mohd Sidik, berkata penganjuran pertandingan bukan sekadar mengikut trend media sosial tetapi bertujuan menanam semangat kemerdekaan secara kreatif.

Peserta kaum Tionghoa bersatu hati bersama peserta kaum Melayu berswafoto bersama.
“Bila masyarakat bergambar, tersenyum dan berkongsi di media sosial dengan hashtag yang sama, ia sebenarnya menjadi simbol penyatuan dan tanda cinta kepada tanah air,” jelasnya.
Dengan sambutan menggalakkan, Komuniti MADANI Bachok merancang menjadikan Pertandingan Swafoto Kreatif HKHM sebagai acara tahunan.
Usaha ini bukan sahaja menghidupkan sambutan HKHM tetapi turut memperkukuh perpaduan, mengeratkan hubungan masyarakat serta menanamkan semangat cintakan negara, selari dengan tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’.
-RI





