Skip to main content
JohorBerita SelatanBerita Tempatan

VBC Platform Perkasa Agenda Sukan Negara – KPT

By 28 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 28 Ogos (MalaysiaAktif) – Penganjuran Varsity Boules Championship (VBC) 2025 mampu menjadi medium kompetitif berterusan dalam melahirkan atlet berkualiti tinggi untuk sukan negara.

Timbalan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik, Seksyen Sukan di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Dr. Hanafiah Ayub berkata inisiatif penganjuran VBC memberi ruang kepada atlet institusi pengajian tinggi (IPT) bersaing secara konsisten, sekali gus menjadi pelengkap kepada ekosistem pembangunan sukan negara.

Dr Hanafiah, berkata penganjuran Varsity Boules Championship (VBC) 2025 dilihat mampu menjadi medium kompetitif berterusan dalam melahirkan atlet berkualiti tinggi untuk sukan negara.

“VBC adalah program baharu yang memberi peluang atlet IPT menyertai pertandingan setiap tahun, tidak hanya bergantung kepada Kejohanan Sukan Empat Penjuru (SUKEP).

“Dengan adanya platform ini, kita dapat membekalkan atlet yang kompetitif serta konsisten untuk negara,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan VBC 2025 di Kompleks Arena Emas, Skudai, di sini semalam.

Seramai 400 atlet daripada 40 IPT seluruh negara menyertai VBC 2025 yang berlangsung dari 27 hingga 30 Ogos ini.

Hanafiah berkata VBC juga akan dilaksanakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan 75 peratus venue kejohanan akan berlangsung di IPT terlibat, merangkumi dua fasa penganjuran.

Tambahnya, penganjuran program seumpama itu memperlihatkan kesan positif terhadap prestasi atlet negara di peringkat antarabangsa apabila beberapa acara melibatkan atlet universiti Malaysia telah berjaya mara ke peringkat akhir temasya Sukan Universiti Dunia (WUG).

Seramai 400 atlet daripada 40 institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara menyertai VBC 2025 yang berlangsung dari 27 hingga 30 Ogos 2025 bertempat di Kompleks Arena Emas, Skudai, Johor Bahru.

“Kita juga melihat penglibatan atlet IPT dalam liga kebangsaan sebagai feeder kepada agenda sukan negara. Justeru, kesinambungan penganjuran kejohanan seperti ini amat penting untuk memastikan Malaysia terus melahirkan atlet berprestasi tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hanafiah memaklumkan Malaysia akan menjadi tuan rumah ASEAN University Games pada tahun hadapan dengan 24 acara dipertandingkan di Lembah Klang.

“Kita sedang giat melaksanakan pembangunan atlet dan persiapan awal bagi memastikan penyertaan maksimum dengan anggaran 600 atlet bakal mewakili negara,” katanya.

Turut hadir Pengarah Pembangunan Masyarakat Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Ungku Ahmad Ungku Zakaria, Pengerusi Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM) Ts. Suhairi Ismail dan Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) Azirin Abdul Aziz.

-RI

Tinggalkan komen anda