
Laporan/foto: Sarah Nur Saad (Perak)/Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak
IPOH, 28 Ogos (MalaysiaAktif) – Jalan raya di sekitar bandar raya Ipoh akan ditutup dan dilencongkan untuk memberi laluan kepada acara raptai dan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 peringkat Negeri Perak pada 31 Ogos ini bermula pukul 6.30 pagi di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata Ipoh Padang, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Sultan Iskandar Shah, Jalan Tun Sambanthan (Little India), Jalan Tan Sri Tajudin Ali, Bulatan Bahagia (Medan Kidd), Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dan Jalan S.P. Seenivasagam akan digunakan untuk perarakan perbarisan.

Laluan perarakan perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2025.
“Terdapat penutupan jalan dan lencongan bagi acara raptai yang dijangka pada 27 dan 29 Ogos ini seawal 6.30 pagi.
“Di samping itu, pada 28 Ogos (Khamis) dan 30 Ogos (Sabtu), penutupan jalan di hadapan Dewan Bandaran Ipoh juga akan dilaksanakan bagi memberi laluan kepada Raptai Penuh Kawad Kawalan Kehormat Utama bermula jam 8.00 pagi sehingga selesai,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Abang Zainal Abidin turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sepanjang acara raptai dan sambutan berlangsung.
Acara tahunan iaitu perarakan perbarisan kontijen kawad kaki dan kenderaan dari pelbagai agensi akan menjadi antara tarikan rakyat di negeri Perak dalam sambutan berkenaan.
-RI





