Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Warna-Warni Seragam Hidupkan Raptai Sambutan Hari Kebangsaan 2025

By 27 Ogos 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Nazmi (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 27 Ogos (MalaysiaAktif) — Barisan wira berseragam hari ini berdiri gagah di sepanjang Persiaran Perdana, di sini untuk menjalani raptai perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025.

Pelbagai warna seragam melatari laluan sepanjang lebih satu kilometer bermula dari persimpangan Jabatan Peguam Negara hingga ke Wisma Tani, dengan setiap kontinjen bersiap siaga bersama aset sokongan, kelengkapan taktikal serta alunan muzik pancaragam sebelum berarak melalui laluan utama di Pusat Pentadbiran Persekutuan itu.

Anggota beruniform menjalani raptai perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 di Putrajaya.

Dengan penyertaan penuh aset dan kontinjen perbarisan pada raptai hari ini, suasana kemeriahan semakin terserlah, sekali gus menggambarkan sambutan hari sebenar pada 31 Ogos nanti yang bakal berlangsung penuh gilang-gemilang.

Norizan Daud, 56, yang tidak melepaskan peluang menyaksikan raptai tersebut berkata beliau tidak terkejut sekiranya perbarisan pada hari sebenar nanti akan lebih hebat terutama apabila melihat semangat dan komitmen yang ditampilkan peserta perbarisan khususnya daripada badan beruniform.

Perbarisan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 kali ini dijangka menjadi yang terbesar membabitkan 14,010 peserta daripada 81 kontinjen.

“Saya berasa sangat berbangga melihat anak muda yang ramai dalam kalangan ahli perbarisan tidak kira tentera, bomba dan lain-lain. Ini adalah suatu pemandangan yang luar biasa.

“Saya doakan mereka akan sihat-sihat sahaja supaya dapat buat yang terbaik pada Ahad nanti dan orang ramai jangan lepaskan peluang untuk turun ke sini 31 Ogos nanti untuk beri sokongan kepada mereka,” katanya kepada MalaysiaAktif, di sini hari ini.

Sementara itu, Hasmah Johari, 52, yang turut menyaksikan raptai berkenaan berkata beliau mengambil kesempatan berbuat demikian kerana dijangka tidak dapat hadir pada hari sambutan sebenar atas urusan keluarga.

Pekerja pembersihan itu juga tidak kisah berpanas sepanjang raptai berlangsung kerana baginya, rugi sekiranya terlepas menyaksikan acara yang hanya diadakan sekali setahun itu.

“Meskipun hanya raptai sahaja, tapi saya sudah boleh rasa kehebatannya. Jadi, saya memang merancang untuk bawa seluruh ahli keluarga saya menyaksikan raptai penuh Jumaat ini,” katanya.

Orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan sesi raptai perbarisan sempena HKHM 2025 di Putrajaya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Julina Johan dilaporkan berkata acara perbarisan dan perarakan tahun ini dijangka menjadi yang terbesar membabitkan 14,010 orang daripada 81 kontinjen berbanding 57 kontinjen pada 2024.

Turut dijangka menarik perhatian pengunjung yang bakal memenuhi 8,000 tempat duduk bertingkat yang merupakan pertambahan 4,000 tempat duduk berbanding tahun lepas adalah 116 aset haiwan selain persembahan oleh 21 kumpulan pancaragam yang akan mempersembahkan pelbagai irama termasuk berunsur patriotik.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini berlangsung di Dataran Putrajaya, manakala Hari Malaysia di Pulau Pinang pada 16 September.

-FN-

Tinggalkan komen anda