
Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/MyCreative Ventures
PUTRAJAYA, 27 Ogos (MalaysiaAktif) – Kementerian Komunikasi akan menganjurkan RIUH Merdeka selama 30 jam tanpa henti sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.
Program yang akan dilaksanakan menerusi MyCreative Ventures (MyCreative) dijangka bermula 12 tengah hari pada Sabtu ini sehingga 6 petang pada Ahad di Tapak Parkir Monumen Alaf Baru, di sini.
MyCreative Ventures dalam satu kenyataan memaklumkan program yang dijangka bakal menarik lebih 25,000 pengunjung itu menampilkan artis tanah air seperti Yuna, Misha Omar, Pop Shuvit, Alif Satar & The Locos, lamNeeta dan Datuk Zainal Abidin.
“Acara ini turut menjadi platform buat penggiat industri kreatif dan usahawan tempatan untuk menonjolkan bakat, membuka peluang perniagaan serta merapatkan hubungan komuniti.
“Pengunjung juga berpeluang menyertai bengkel kreatif percuma serta aktiviti mesra keluarga sepanjang 30 jam acara ini berlangsung,” menurut kenyataan itu, semalam.
Menurut kenyataan itu lagi, RIUH Merdeka bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara melalui seni, budaya dan kreativiti.
“Dengan gabungan seni kreatif, muzik dan komuniti, RIUH Merdeka bukan sekadar hiburan tetapi wadah untuk meraikan semangat kemerdekaan bersama rakyat Malaysia.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari media sosial Instagram dan Facebook @riuhinthecity dan @mycreativeventures.
Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata semangat Bulan Bebangsaan akan disemarakkan dengan program RIUH MERDEKA 2025 yang menyajikan pelbagai aktiviti berunsur perpaduan, kebudayaan dan kreativiti Malaysia melalui seni, muzik dan komuniti.
-RI





