
Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 24 Sep (MalaysiaAktif) — Seramai 186 pelajar Kota Tinggi yang akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) dengan jumlah keseluruhan RM297,000 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Mastura menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Majlis Penyerahan WPP PTPTN kepada pelajar-pelajar di Kota Tinggi.
Menurut Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid, setiap pelajar yang layak menerima bantuan tersebut menerima RM 1,500 sebagai sebahagian daripada pinjaman PTPTN untuk membantu mereka memulakan pengajian di Universiti Awam dan Politeknik.
“RM 1,500 merupakan sebahagian daripada pinjaman PTPTN yang diberikan sejak dahulu kepada pelajar yang memerlukan berdasarkan permohonan dalam talian kepada pelajar yang layak,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN di Dewan Kota Kecil, di sini kelmarin.
Seorang penerima bantuan, Siti Aisyah Hussein, 20, menyatakan rasa syukur dan menghargai inisiatif itu yang disifatkannya amat membantu pada peringkat awal pengajian.

Muszaide Makmor, menyerahkan replika kad WPP PTPTN kepada salah seorang penerima, Nor Farzana Muhamed Nor.
“Bantuan ini akan digunakan sebaiknya bagi membeli barang yang diperlukan dan menampung kos perjalanan di lokasi pengajian,” katany.
Majlis dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili Muszaide Makmor dengan turut dihadiri Setiausaha Sulit Menteri Pertahanan Mohamad Nazren Nasha Abu Samah serta Pengarah PTPTN Negeri Johor Mazni Ruslan.
-RI





