
Laporan/ foto : Juliani Bolhi (Sarawak)
LIMBANG, 12 Sep (MalaysiaAktif) – Seramai 38 daripada 40 buah sekolah di Daerah Limbang telah menyertai Kempen Internet Selamat (KIS) 2025, yang mula dilaksanakan sejak 13 Ogos lalu sebagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran keselamatan Internet dalam kalangan pelajar.
Kempen anjuran Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini dilancarkan pada Januari 2025 di Universiti Malaysia Kelantan, dan diteruskan ke peringkat daerah bagi memperluaskan jangkauan mesej digital selamat.
Pengarah MCMC, Fadzlida Hanim Abdul Razak, berkata peningkatan penggunaan media sosial dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah kini mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko termasuk kandungan tidak sesuai, buli siber, penipuan dalam talian serta interaksi berbahaya.

Fadzlida Hanim, menyampaikan ucapan sempena Majlis Kempen Internet Selamat (KIS) Peringkat Sekolah Daerah Limbang 2025.
“Cabaran utama di Limbang adalah penggunaan Internet secara tidak berhemah yang menyumbang kepada penyebaran maklumat palsu dan kejadian buli siber dalam kalangan pelajar,” ujarnya ketika merasmikan program yang dihadiri pelajar dari 23 sekolah rendah semalam.
KIS memberi fokus kepada pendidikan digital bertanggungjawab melalui pendekatan interaktif seperti kuiz, aktiviti berkumpulan, tayangan multimedia, serta perkongsian pengalaman berkaitan keselamatan siber.
Antara topik utama yang diketengahkan termasuklah:
-
Tanggungjawab digital
-
Privasi dalam talian
-
Penipuan siber & perjudian atas talian
-
Buli siber & pengantunan dalam talian
-
Penyebaran maklumat palsu
-
Ancaman eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian

Sesi taklimat Kempen Internet Selamat (KIS) mengenai had umur penggunaan media sosial menarik perhatian dan tumpuan pelajar.
Di peringkat tempatan, pihak sekolah memainkan peranan utama dalam membina asas kesedaran digital murid. Pelaksanaan program turut mendapat sokongan daripada agensi kerajaan daerah, termasuk dari aspek logistik dan penyelarasan.
Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Limbang bersama industri telekomunikasi juga terlibat dalam memperkukuh penyampaian mesej melalui saluran komunikasi yang lebih dekat dengan komuniti setempat.
Sementara itu, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Limbang, Mohd Sharol, menyatakan keyakinan bahawa program ini dapat menjadi pemangkin kepada lahirnya generasi pelajar yang celik digital dan beretika ketika berinteraksi di alam maya.
“Dengan kerjasama semua pihak, kita yakin matlamat untuk meningkatkan literasi digital dan keselamatan siber dalam kalangan pelajar dapat dicapai dengan berkesan,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Guru Besar SJK (C) Yuk Hin, Wong Kae Nie, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Limbang, Awang Zainalabidin Usop, serta wakil industri telekomunikasi, Benjamin Yoe Ee Seng.
-RJ-






