
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/MEDKOM Johor
ISKANDAR PUTERI, 11 Sep (MalaysiaAktif) – Kerajaan Johor dengan sokongan kerajaan persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menyalurkan bantuan maksimum RM3,000 kepada 62 keluarga yang terjejas akibat beberapa siri gempa bumi lemah di Segamat dan Batu Pahat, baru-baru ini.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata bantuan itu diberikan kepada ketua isi rumah yang terlibat dan yang telah membuat laporan polis.
“Berdasarkan laporan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Segamat, setakat ini sebanyak 62 rumah, dua surau serta sembilan premis kerajaan dilaporkan mengalami kerosakan kecil.
“Syukur Alhamdulillah, penilaian teknikal oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengesahkan semua bangunan ini masih selamat digunakan,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke-15, di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata pemeriksaan turut dilakukan ke atas fasiliti kritikal milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Air Johor Ranhill (SAJ) dan Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) yang mendapati semua sistem dan kemudahan berfungsi seperti biasa.
Katanya, siri gempa bumi berkenaan bermula pada 24 Ogos lalu dengan magnitud 4.1, disusuli tujuh gegaran susulan antara 27 Ogos hingga 3 Sep dengan magnitud antara 2.5 hingga 3.4.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah melaksanakan langkah berfasa merangkumi jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Bagi jangka pendek, bilik gerakan bencana diaktifkan 24 jam, hebahan keselamatan diperluas, Prosedur Tetap Operasi (PTO) gempa bumi dibangunkan dan Program Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) diperkenal di sekolah serta komuniti.
“Jangka sederhana pula melibatkan pengukuhan sistem pemantauan saintifik, siasatan geoteknikal, menaik taraf enam stesen seismologi serta pembinaan dua lagi stesen tambahan dengan peruntukan RM3 juta diluluskan kerajaan persekutuan,” jelasnya.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata tindakan jangka panjang memberi fokus kepada kajian garisan sesar, pelaksanaan piawaian bangunan tahan gempa, penilaian infrastruktur kritikal, pembangunan garis panduan keselamatan serta pemetaan risiko seismik menggunakan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Kerajaan negeri komited memastikan aspek keselamatan rakyat dan kemudahan awam terus terjamin, di samping memperkukuhkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
-RI





