
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Bashsyar Abdullah (Kedah)
ALOR SETAR, 29 Sep (MalaysiaAktif) – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dengan sokongan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menganjurkan Program Jualan Agri Biz 2025 sebagai usaha memperkukuh keusahawanan peladang serta merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Mahfuz ketika menyampaikan ucapan.
Pengerusi LPP Dato’ Wira Mahfuz Omar berkata penyertaan lebih 50 usahawan peladang dari seluruh negara membuktikan program itu menjadi platform strategik untuk memasarkan produk, memperluas rangkaian perniagaan dan memupuk inovasi serta digitalisasi dalam sektor pertanian.
“Program ini mencerminkan komitmen kerajaan dan rakan strategik dalam memperkasakan komuniti peladang, mempromosi produk tempatan serta menyokong agenda pertumbuhan ekonomi negara,” katanya ketika majlis perasmian yang diadakan semalam.

Bergambar kenangan bersama penerima-penerima peruntukan pembangunan iaitu Peruntukan Rise-up, Agriprentice dan Geran Agropreneur Muda
Sepanjang tiga hari penganjuran program dari 26 hingga 28 September di pekarangan Stadium Darul Aman, pelbagai aktiviti diadakan termasuk demonstrasi masakan, pertandingan AgroNex Kulinari, ceramah pensijilan halal, kursus digitalisasi perniagaan selain jualan istimewa seperti Jualan Kombo Agro MADANI dan Happy Hour yang mendapat sambutan orang ramai.
Program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran kepimpinan tertinggi KPKM serta pemimpin peladang, menjadikannya bukan sahaja medan pemasaran produk tetapi juga pemangkin inovasi pertanian demi kelestarian ekonomi negara.
-RI





