Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Banjir di Long Lama, Beberapa Kawasan Ditenggelami Air

By 15 September 2025September 18th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Regina Lasia/Samuel Iwat

LONG LAMA, 16 Sep (MalaysiaAktif) – Keadaan banjir di Long Lama, Baram dilaporkan semakin naik sejak awal pagi tadi.

Sekitar pukul 7 pagi, beberapa buah kediaman penduduk mula ditenggelami air akibat hujan berterusan sejak malam semalam.

Situasi banjir di Pekan Long Lama, Baram.

Selain itu, jalan utama di kawasan Layang-Layang telah terputus hubungan selepas ditenggelami banjir, sekali gus menjejaskan pergerakan penduduk dan akses kenderaan.

“Banjir yang melanda Long Lama ini akibat daripada hujan yang turun berlarutan sejak dua hari lalu di Ulu Baram sehingga menyebabkan air di Sungai Baram melimpahi tebing sungai di Leo Mato, Long San, Pilah dan sepanjang Sungai Baram, seterusnya menyebabkan Long Lama menerima limpahan Sungai Baram ini,” kata Pegawai Penerangan Daerah Telang Usan Jua Daud ketika dihubungi.

Ketika ini, pihak berkuasa tempatan bersama agensi keselamatan sedang memantau keadaan semasa dan menasihati penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dari semasa ke semasa.

Paras air yang tinggi menyebabkan bot digunakan di beberapa kawasan di Pekan Long Lama ketika ini.

“Paras air banjir ini menyamai paras yang pernah berlaku tiga atau empat tahun dahulu, dan kerana itu saya menasihati agar semua pihak peka serta mendengar arahan pihak berkuasa,” kata Jua lagi.

Penduduk yang terjejas juga diminta bersedia untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara sekiranya diarahkan.

Orang ramai dinasihatkan agar mengutamakan keselamatan, tidak melalui kawasan banjir dan sentiasa mengikuti perkembangan serta arahan terkini daripada pihak berkuasa.

-RJ-

Tinggalkan komen anda