Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Bermula Dari Minat dan Keberanian Untuk Mencuba, Kini Aktif Sertai Bola Sepak Wanita

By 25 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : George Humprey Dolek (Sarawak)

SERIAN, 25 Sep (MalaysiaAktif) –Sukan bola sepak kini bukan lagi dominasi kaum lelaki semata-mata, sebaliknya semakin ramai wanita menunjukkan minat dan penglibatan aktif, khususnya di kawasan kampung sekitar Serian.

Cindy Kado bermain bola sepak wanita apabila timbnulnya minat dan mendapat sokongan daripada suami.

Cindy Kado, 45, adalah antara wanita yang membuktikan sukan bola sepak mampu diceburi kaum hawa, apabila minatnya mula timbul selepas menonton beberapa pertandingan bola sepak wanita, katanya ketika ditemui semalam.

“Pada mulanya saya hanya menonton, kemudian timbul keinginan untuk mencuba. Dari situlah segalanya bermula. Kini, saya semakin aktif bermain bola sepak bersama rakan-rakan wanita,” katanya.

Ibu kepada seorang anak itu menjelaskan bahawa sokongan penuh suami menjadi dorongan utama untuknya terus bergiat aktif, termasuk menyertai beberapa pertandingan di luar Daerah Serian, selain menyatakan hasrat untuk terlibat dalam lebih banyak kejohanan pada masa hadapan.

Cindy kini menyertai dua pasukan wanita, iaitu Abuh Ladies FC, pasukan campuran dari Tebedu, serta Tema United FC (TUFC) yang terdiri daripada pemain Kampung Tema Penggal dan Kampung Tema Mawang, Serian.

Cindy Kado memegang piala dan bersama pasukannya yang mendapat naib juara Liga Penalty Merdeka Jemputan (Wanita) anjuran Kampung Rudan Rayang di Padawan.

“Saya mula aktif pada tahun 2023 dan kerap mengikuti perlawanan persahabatan serta liga yang dianjurkan di sekitar Tebedu dan Serian,” ujarnya.

Tambah Cindy, penglibatannya dalam bola sepak wanita membuahkan hasil apabila pasukannya, Tema United FC, meraih tempat ketiga dalam Karnival Bola Sepak Wanita Piala ADUN Tebedu, Dr. Simon Sinang Anak Bada, pada Julai lalu.

Selain itu, pasukannya turut muncul naib juara dalam Liga Penalti Merdeka Jemputan (Wanita) anjuran Kampung Rudan Rayang di Padawan, sementara sebagai pemain beliau menekankan kepentingan kekal aktif dan konsisten dalam latihan serta perlawanan.

“Kebiasaannya, setiap hujung minggu kami ada perlawanan persahabatan. Ia bukan sekadar untuk latihan atau persediaan pertandingan, malah bertujuan menggalakkan penglibatan belia, khususnya wanita, dalam aktiviti sihat seperti ini,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda