
Laporan/Foto: Boniface Watt Su / Ignatius Golen Sugai (Pakan)
PAKAN, 25 Sep (MalaysiaAktif) – Gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah dan institusi pendidikan kian membimbangkan, mendorong kerajaan bersama masyarakat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membanterasnya.
Antara pendekatan yang diambil ialah penganjuran kempen dan program kesedaran oleh agensi kerajaan, termasuk Program Jiwa@Kelab Malaysiaku SMK Pakan 2025 anjuran Pejabat Penerangan Daerah Pakan dengan kerjasama pihak sekolah, yang berlangsung di sini semalam.

Pelajar SMK Pakan memberikan tumpuan penuh kepada penerangan isu buli.
Program melibatkan 60 pelajar dan ahli Kelab Malaysiaku SMK Pakan itu bertujuan memberi kesedaran untuk menjauhi perbuatan buli melalui pengisian utama, Kempen Katakan Tidak Pada Buli.
Menurut Penyelaras Kelab Malaysiaku, Boniface Watt Su, kegiatan buli dalam bentuk lisan, fizikal, siber atau sosial tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh memberikan kesan buruk kepada mangsa dari segi fizikal, mental dan emosi.
“Kegiatan buli, sama ada secara lisan, fizikal, siber atau sosial, tidak boleh dipandang remeh dan perlu dicegah kerana boleh memberi kesan negatif terhadap mangsa,” katanya dalam sesi taklimat kepada pelajar.

Penyertaan ramai pelajar membolehkan mesej anti buli disebarluaskan kepada seluruh pelajar di SMK Pakan.
Beliau turut menasihatkan pelajar agar memahami dengan jelas definisi buli serta tindakan yang harus diambil jika berdepan situasi sedemikian.
“Saya nasihatkan, sekiranya berlaku kes buli sama ada terhadap diri sendiri atau rakan lain, jangan takut untuk melaporkannya demi keselamatan bersama. Ini penting bagi membendung kejadian yang tidak diingini daripada berulang,” katanya.
Program berkenaan berjaya menarik perhatian serta memberi pemahaman jelas kepada pelajar, sekali gus diyakini mampu membentuk persekitaran sekolah yang selamat, harmoni dan bebas daripada gejala buli.
-RJ-





