
Laporan/foto: Nik Awang (Setiu)
SETIU, 22 Sep (MalaysiAktif) – Lebih 150 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chalok diberi pendedahan mengenai kepentingan menggunakan internet dengan selamat melalui Kempen Internet Selamat (KIS) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Terengganu dengan kerjasama Jabatan Penerangan Daerah Setiu, kelmarin.

Lebih 150 pelajar SMK Chalok tekun mendengar sesi perkongsian ilmu berkaitan bijak media sosial dan keselamatan internet sepanjang program KIS.
Program yang berlangsung di Dewan SMK Chalok itu memberi fokus kepada kawalan kendiri, pemikiran kritis serta kesedaran dalam berkongsi maklumat di media sosial.
Pelajar turut diajar cara melaporkan kandungan berisiko serta kepentingan menentu sah maklumat sebelum menyebarkannya.
Menurut Penolong Pengarah Unit Advokasi Pentadbiran dan Perkhidmatan MCMC Terengganu Wawfal Awwab Noordin Asimi, program itu menggunakan Modul Rancangan Sesi Pengajaran (RSP) khusus bagi remaja berumur 13 hingga 17 tahun bagi memperkukuh kesedaran keselamatan digital.

Wawfal Awwab Noordin Asimi hadir memberikan pendedahan berkaitan kepentingan keselamatan digital kepada pelajar SMK Chalok.
Antara aktiviti interaktif yang dijalankan termasuk Pecah Ruyung – Hot Seat, Maklumat Palsu, Jejak Digital dan Red Flag yang mendapat sambutan hangat daripada pelajar.
Aktiviti tersebut secara langsung membimbing mereka mengenali risiko jenayah siber, pengantunan seksual dalam talian serta tanda-tanda amaran yang wajar diberi perhatian.
Pengetua SMK Chalok Alias Hussin bersama Pengetua Perantisan (NPQEL), Norazlina Ibrahim, menzahirkan penghargaan kepada pihak MCMC atas usaha tersebut dan berharap ilmu yang disampaikan dapat menjadikan pelajar lebih berwaspada, bijak serta bertanggungjawab dalam penggunaan internet.
-RI





