
Laporan/foto: Nik Awang Yaacob/Mohd Raffiuddin Fauzi
SETIU, 23 Sep (MalaysiaAktif) – Penganjuran Program Fun Walk & Brisk Walk Santuni Rakyat di Kampung Bukit Aman, di sini semalam bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi medium mengukuhkan ukhuwah dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.

Pelbagai lapisan masyarakat turut mengambil bahagian dalam program ini, mencerminkan semangat perpaduan dan keterlibatan yang tinggi.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Kauzi Ab. Ghani, berkata program riadah sebegini memberi nilai tambah kepada penduduk kerana menggabungkan elemen kecergasan dengan kebersamaan.
“Apa yang menarik, selepas tamat berjalan, semua peserta berkumpul bersama. Ini bukan hanya soal kecergasan, tetapi juga menguatkan ikatan silaturahim. Kita sihat bersama, kita erat bersama,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang.
Program yang disertai ratusan penduduk pelbagai peringkat umur itu turut diserikan dengan acara cabutan bertuah, termasuk kategori khas buat warga emas, menjadikan suasana lebih inklusif dan diraikan oleh semua.
Kesungguhan penduduk Kampung Bukit Aman membuktikan bahawa inisiatif sederhana seperti ini mampu memberi impak besar dalam menyatukan komuniti, mengangkat nilai hidup sihat serta menyemarakkan semangat kekitaan di peringkat akar umbi.
-RI





