
Laporan/foto: Ali Imran/Ahmad Nadhir (Kemaman)
KEMAMAN, 10 Sep (MalaysiaAktif) – Ledakan penggunaan gajet dalam kalangan pelajar, termasuk murid sekolah rendah, kian menjadi fenomena semasa, namun asas membaca tetap perlu diperkukuh agar generasi muda agar tidak hanya bergantung kepada teknologi semata-mata.

Ahmad Nadhir Yob memberikan penerangan mengenai kepentingan amalan membaca kepada para peserta.
Pegawai Penerangan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Kemaman Ahmad Nadhir Yob, menegaskan kepentingan keseimbangan antara penggunaan gajet dengan amalan membaca seiring tuntutan era Revolusi Industri 4.0.
“Gajet memang sebahagian daripada kehidupan pelajar hari ini, tetapi asas pembelajaran iaitu membaca tidak boleh diabaikan. Ia mesti berjalan seiring supaya pelajar mendapat manfaat sepenuhnya daripada teknologi,” katanya ketika merasmikan Program Merdeka dan Hari Malaysia@NADI di Perpustakaan Awam Kemaman, di sini semalam.

Penyampaian hadiah dan cenderahati kepada peserta.
Sementara itu, Pengurus Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Command Centre Asmamiza Iskandar, 28, berkata program bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 turut berlangsung serentak di semua pusat berkenaan di seluruh negara.
“Di Kemaman, kita anjurkan pertandingan mewarna serta dekorasi donat merdeka. Sambutan sangat menggalakkan dengan penyertaan lebih 50 murid sekolah rendah sekitar Chukai,” jelasnya.
Program turut mendapat kerjasama Perpustakaan Awam Kemaman, yang juga menjadi lokasi operasi NADI Kemaman Command Centre.
-RI





