
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Persatuan Karate Labuan
LABUAN, 10 Sep (MalaysiaAktif) – Atlet karate muda negara, Nur Aneesa Aira Mohamad Affendi yang berasal dari Labuan mencipta sejarah apabila meraih pingat gangsa dalam acara Kata Wanita Kategori Junior (16–17 tahun) pada 23rd Asian Cadet, Junior & U21 Karate Championship 2025 yang berlangsung di Shaoguan, China, dari 5 hingga 7 September lalu.

Antara aksi padu daripada Nur Aneesa.
Jurulatih Mohd Norfarhan Nordin berkata kejayaan itu menjadikan beliau atlet wanita pertama dari Persatuan Karate Labuan yang mewakili Malaysia dalam acara Kata di kejohanan peringkat Asia (AKF).
“Pencapaian ini sekali gus menandakan mercu tanda baharu dalam sejarah Labuan Karate serta membuka jalan kepada lebih ramai atlet wanita dari Wilayah Persekutuan Labuan untuk melakar kejayaan di pentas antarabangsa.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih, disiplin, dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh Nur Aneesa Aira, kami percaya pencapaian ini akan menjadi inspirasi kepada generasi muda Labuan untuk terus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya semasa ditemui media, di sini semalam.

Nur Aneesa (dua dari kanan) ketika sesi penyampaian pingat.
Jelasnya, Muhammad Aiqal Asmadie sebelum ini turut mencatat sejarah pada tahun 2023 apabila meraih pingat gangsa dalam kejohanan sama sekaligus membuka jalan kepada lebih ramai atlet dari Labuan untuk mengekalkan prestasi cemerlang di peringkat Asia.
“Seorang lagi wakil Labuan, Diya Khalish Kasryanto turut beraksi dalam kejohanan kali ini bagi kategori Kumite Kadet (14-15 tahun) Perempuan -61kg namun tidak berjaya membawa pulang sebarang pingat.
“Walau bagaimanapun, penyertaan beliau tetap dianggap sebagai pengalaman berharga dalam usaha membina bakat muda karate Labuan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Secara keseluruhannya, kontinjen Malaysia menamatkan cabaran di Shaoguan dengan pencapaian tiga Perak dan empat Gangsa sekali gus menempatkan kedudukan negara ke-12 di rantau Asia.
-RI






