Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Hayati Erti Hari Kebangsaan & Hari Malaysia, Kekalkan Perpaduan dan Keamanan – Dr Stephen

By 14 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Rinta Engkamat (Sarawak)

KANOWIT, 14 Sep (MalaysiaAktif) – Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKMH) rakyat bukan sekadar mengenang kembali sejarah gerakan ke arah kemerdekaan tetapi juga harus sentiasa mengamalkan semangat kebersamaan dan cinta kepada negara agar sentiasa subur dalam jiwa rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.

Ketika berucap di Program Jiwa Komuniti MADANI HKHM di Rumah Panjang Engkabang, Sungai Maong, Machan semalam, Setiausaha Politik kepada Menteri Perpaduan Negara, Dr Stephen William berkata semangat kebersamaan dan kecintaan kepada tanah air masih subur dalam kalangan masyarakat termasuk di Kanowit.

Ucapan perasmian Dr Stephen sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 Komuniti Madani Bungai Jarau.

“Setiap rakyat perlu menghayati makna sebenar Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bukan sekadar dikaitkan dengan kibaran Jalur Gemilang kerana dua hari penting itu adalah untuk memperbaharui ikrar dan janji kita untuk terus menjaga perpaduan, memelihara keharmonian serta mengangkat martabat negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya di program yang dianjurkan bersama Komuniti MADANI Bungai Jarau dan Pejabat Penerangan Daerah Kanowit itu.

Beliau menambah, konsep Segulai Sejalai iaitu bersama dalam satu haluan, menjadi pegangan utama yang melambangkan nilai perpaduan masyarakat majmuk di Sarawak.

“Melalui semangat Segulai Sejalai yang sentiasa rakyat Sarawak pegang, kita dapat mempastikan keamanan dapat dikekal malah berupaya mencorakkan masa depan negara dengan penuh keyakinan dan kemajuan,” kata Dr Stephen lagi.

Sesi foto berkumpulan Dr Stephen bersama peserta program.

Pelbagai pengisian menarik ketika program berlangsung bagi menyemarakkan sambutan antaranya Nyanyian Lagu Patriotik, Ikrar Rukun Negara, Cabutan Tiket Bertuah dan program Info On Wheels yang menyampaikan hebahan mengenai Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) secara sekali beri termasuk Kempen Kibar Jalur Gemilang.

Turut hadir pada program tersebut Pegawai Penerangan Daerah Kanowit Rinta Engkamat, Ketua Masyarakat Kaum Cina Kanowit dan Machan Pemanca Leong King Hee, ketua kaum dan tetamu jemputan lain.

-RJ-

Tinggalkan komen anda