Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Maulidur Rasul Betong: Razi Sitam Seru Teladani Kesederhanaan Rasulullah

By 14 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Senie Endin (Sarawak)

BETONG, 14 Sep (MalaysiaAktif) – Seramai 1,000 masyarakat Islam hadir memeriahkan Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul 1447 Hijrah/2025 Masihi Peringkat Bahagian Betong yang berlangsung dengan penuh semangat ukhuwah dan perpaduan, semalam.

Perarakan melibatkan penyertaan 22 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan, pihak swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Peserta berhimpun di Kompleks Sukan Betong sebelum berarak sambil berselawat memuji junjungan Nabi Muhammad SAW sebagai tanda kecintaan umat Islam terhadap Baginda.

Antara peserta yang menyertai Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Betong.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohamad Razi Sitam.

Dalam ucapannya, Razi menyeru umat Islam khususnya di Bahagian Betong agar meneladani kehidupan Rasulullah SAW yang menekankan nilai kesederhanaan serta amalan saling hormat-menghormati meskipun berbeza bangsa, budaya dan agama.

“Teladanilah Rasulullah SAW kerana Baginda berjaya menyatukan golongan Muhajirin dan Ansar, seterusnya menyebarkan ajaran Islam ke seluruh dunia sehingga menjadi pedoman dalam kehidupan seharian kita,” katanya.

Razi menyampaikan ucapan penangguhan Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Betong.

Beliau menegaskan, perhimpunan dan perarakan ini bukan sahaja memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, malah turut menjadi wadah untuk memperkukuh hubungan silaturahim antara masyarakat setempat dengan kepimpinan tempatan.

Sambutan ini juga mencerminkan komitmen masyarakat Betong dalam menyemarakkan syiar Islam serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Majlis turut dihadiri ADUN Kalaka, Mohamad Duri; Timbalan Residen Bahagian Betong, Hamdah Katang; ketua-ketua jabatan kerajaan; ketua masyarakat dan ketua kaum sekitar Betong.

-RJ-

Tinggalkan komen anda