
Laporan/ foto: Sophia Aren Erik (Sarawak)
TATAU, 22 Sep (MalaysiaAktif) – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pekan Tatau terus memperkukuh usaha kesedaran digital dengan menganjurkan ceramah penggunaan internet secara selamat melibatkan 30 ahli Komuniti MADANI Pekan Sangan sempena Slot Khas Komuniti MADANI dan Sesi Libat Urus Komuniti MADANI, di sini kelmarin.
Melalui program ini, masyarakat diberi pendedahan tentang kepentingan kewaspadaan ketika menggunakan internet, terutama bagi mengelakkan penipuan siber, penyebaran maklumat palsu dan ancaman pencerobohan data peribadi.

Sesi soal jawab Pengurus NADI Tatau Kurniawan Abdul Haris bersama ahli Komuniti MADANI Pekan Sangan.
Menurut Pengurus NADI Tatau, Kurniawan Abdul Haris, setiap pengguna perlu peka terhadap laman sesawang yang dilayari, berwaspada daripada mendedahkan maklumat peribadi kepada pihak meragukan serta membudayakan prinsip fikir sebelum kongsi di media sosial.
Ketua Komuniti MADANI Pekan Sangan, Tuai Rumah Ali Seredin, 65, berkata ceramah itu amat bermanfaat kerana ia membuka mata masyarakat terhadap ancaman dunia digital.
“Saya kini lebih berhati-hati untuk tidak klik sebarang pautan mencurigakan yang diterima melalui mesej atau e-mel,” katanya.

Ali Seredin (kiri) berpandangan perlunya berwaspada setiap kali membuka e-mel yang diterima.
Sementara itu, ahli Komuniti MADANI Pekan Sangan, Tuai Rumah Abun Maring, 40, berkata ceramah berkenaan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kawalan ibu bapa.
“Sebagai seorang bapa, saya berpendapat ilmu ini penting untuk memantau penggunaan gajet anak-anak agar mereka tidak terdedah kepada kandungan berbahaya,” ujarnya.
Melalui penganjuran program sebegini, NADI Pekan Tatau terus memainkan peranan penting menyebarkan maklumat bermanfaat kepada Komuniti MADANI dan masyarakat setempat, seiring dengan hasrat kerajaan membina komuniti digital yang celik maklumat dan berdaya saing.
-RJ-





