Skip to main content
SarawakBerita Tempatan

Jamil Taras Sambut Baik BUDI95, Ringankan Beban Rakyat

By 23 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Randy Achang William (Sarawak)

LIMBANG, 23 Sep (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan inisiatif program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dilihat sebagai langkah proaktif yang berkesan dalam meringankan beban kos sara hidup, terutamanya bagi golongan di kawasan luar bandar.

Pelaksanaan BUDI95 pada penghujung September ini bertujuan meringankan kos sara hidup rakyat Malaysia melalui pengurangan harga petrol RON95 dan memastikan subsidi petrol diagihkan secara lebih adil dan telus.

Selain itu, ia juga bermatlamat mengelakkan penyelewengan supaya hanya yang layak mendapat manfaat subsidi petrol dengan menggunakan mekanisme automatik dan pengesahan sah.

Ketika ditemui hari ini, Timbalan Ketua Komuniti MADANI Tiga Kampung, Jamil Taras, menyambut baik program BUDI95, suatu inisiatif yang amat ditunggu masyarakat setempat.

Jamil Taras sambut baik BUDI95, inisiatif Kerajaan MADANI yang amat ditunggu masyarakat setempat.

“Inisiatif ini adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap rakyat dan jika melihat situasi semasa di Limbang, ramai penduduk bergantung kepada kenderaan untuk urusan seharian iaitu ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah atau membawa hasil pertanian ke bandar.

“Memperlihatkan inisiatif ini nanti ia tentunya akan meringankan perbelanjaan petrol mereka,” katanya.

Beliau menambah pendekatan subsidi bersasar itu lebih adil dan telus kerana ia memastikan bantuan sampai terus kepada golongan yang benar-benar layak melalui data Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang digunakan.

Walaupun mungkin ada segelintir pihak beranggapan pada peringkat awal pelaksanaannya nanti akan merumitkan orang ramai, namun Jamil tetap positif bahawa segala kelemahan akan diberi perhatian dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Jamil Taras (kiri) yakin perlaksanaan BUDI95 akan semakin lancar melalui penambaikan dari semasa ke semasa.

“Situasi tidak biasa atau tanggapan menyusahkan sememangnya ada setiap kali sesuatu perkara baharu dilaksanakan kerajaan tetapi selepas sebulan dua, melalui penambahbaikan sepanjang masa, program ini pasti berjalan lancar dan disambut baik semua pihak.

“Mungkin orang ramai boleh juga cuba memuat turun dan menggunakan aplikasi Setel yang saya dengar memudahkan urusan pembelian minyak di bawah program BUDI95,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan Komuniti MADANI Tiga Kampung juga aktif membantu agensi kerajaan yang berkaitan menyebarkan maklumat dan membimbing golongan kurang mahir teknologi berhubung BUDI95.

-RJ-

Tinggalkan komen anda