Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Jerayawara Seluruh Negara, Dapatkan Maklum Balas Penubuhan Tribunal Anti-Buli

By 3 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/Facebook Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 3 Sep (MalaysiaAktif) – Kerajaan akan mengadakan siri jerayawara di seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas orang ramai berhubung penubuhan Tribunal Anti-Buli.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Isu Buli juga akan melaksanakan sesi pertemuan (dialog awam) dengan pelbagai pihak di seluruh negara.

“Bermula di Kuala Lumpur dan akan menjelajah ke setiap negeri, insya-Allah, untuk mendengar dan mendapatkan maklum balas daripada orang awam dan pihak berkepentingan mengenai cadangan dan usaha untuk menambah baik sama ada proses, undang-undang dan juga mekanisme melibatkan Tribunal Anti-Buli yang dimaksudkan.

“Dan ini adalah usaha untuk mendapat lebih banyak maklum balas, input daripada orang awam. Maklumat terperinci termasuk lokasi, waktu dan cara untuk terlibat akan disusuli oleh Pejabat Menteri,” katanya.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata demikian pada Sidang Media Mingguan Kabinet, di sini hari ini.

Menurutnya lagi, Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini itu turut dimaklumkan Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah membangkitkan keperluan untuk menghadkan usia bagi Tribunal Anti-Buli kepada 18 tahun.

“Tapi, ini baru sekadar cadangan awal. Beliau (Azalina) memaklumkan bahawa siri mesyuarat akan diteruskan pada minggu hadapan bagi meneliti aspek-aspek berkaitan perancangan untuk melaksanakan Tribunal Anti-Buli,” katanya.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan Penggubalan Rang Undang-Undang Tribunal Anti-Buli antara cadangan yang diteliti pada Mesyuarat Mengenai Usaha-Usaha Memperkukuh Mekanisme Pencegahan Buli di Malaysia.

-RI

Tinggalkan komen anda