
Laporan/foto: Ahmad Faisal/Affifa (Perak Tengah)
PARIT, 3 Sep (MalaysiaAktif) – Lebih 100 penduduk setempat hadir memeriahkan Dewan Orang Ramai Layang-Layang Kanan, di sini bagi memeriahkan Program JIWA@Komuniti MADANI Mukim Layang-Layang Kanan bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025, kelmarin.

Khairudin ketika menyampaikan ucapan.
Bertemakan ‘Jiwa Merdeka’, program berkenaan sarat dengan pelbagai pengisian menarik seperti pertandingan dan sukaneka kemerdekaan, sekali gus mencerminkan rasa cinta rakyat terhadap tanah air serta mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tingi, Belia dan Sukan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja Khairudin Abu Hanipah menekankan kepentingan menanam rasa cinta dan sayang kepada negara dalam jiwa setiap warganegara.
Beliau mengingatkan bahawa meskipun negara kini menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-68, isu-isu remeh seperti pemasangan bendera terbalik masih kedengaran saban tahun.

Sukaneka boling padang antara yang dipertandingkan.
Situasi itu, katanya mencerminkan masih ada dalam kalangan rakyat yang kurang menghayati makna sebenar kemerdekaan.
“Perpaduan adalah satu perkataan yang mengikat kita sebagai rakyat Malaysia. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya menghargai simbol negara dan memahami erti kemerdekaan.
“Jangan biarkan perkara kecil memecahbelahkan kita. Belajarlah daripada apa yang berlaku di negara jiran agar Malaysia kekal aman dan maju,” tegasnya.
Khairudin turut menekankan bahawa semangat patriotisme bukan sahaja perlu dizahirkan melalui sambutan kemerdekaan, tetapi mestilah diterjemahkan dalam bentuk rasa tanggungjawab, menjaga negara, serta menolak segala unsur yang boleh menggugat keharmonian.
-RI





