Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Johor Bakal Terima Sebuah Lagi Hospital Baharu Bernilai RM750 Juta

By 10 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Ling Tian Soon

ISKANDAR PUTERI, 10 Sep (MalaysiaAktif) – Johor bakal menerima sebuah lagi hospital baharu berkapasiti 500 katil menerusi pelaburan berjumlah RM750 juta oleh Oriental Holdings Berhad di Forest City, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata hasrat pelaburan itu hasil pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Oriental Holdings Berhad dan Country Garden Pacificview Sdn. Bhd. (CGPV).

Pelaburan RM750 juta oleh Oriental Holdings Berhad di Forest City merangkumi pembinaan hospital baharu dengan kapasiti 500 katil.

“Fasiliti berkenaan menandakan kerjasama strategik antara CGPV selaku pemaju Forest City yang berkeluasan 30 kilometer persegi, dengan Oriental Holdings, pemilik Oriental Melaka Straits Medical Centre, sebuah hospital rawatan tertiary (tertier) berkapasiti 300 katil.

“Projek ini dijangka memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada rakyat Malaysia, warga Singapura serta pesakit antarabangsa yang mencari perkhidmatan perubatan khusus dan berkualiti tinggi di Iskandar Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Majlis pemeteraian MoU itu disaksikan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Oriental Holdings Datuk Seri Tan Hui Jing dan Pengarah Eksekutif CGPV Datuk Md Othman Yusof.

Tambah Ling, dengan adanya daya tarikan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), semakin ramai pelabur asing hadir untuk membuka kilang dan melabur di negeri berkenaan.

“Pelaburan tersebut bukan sahaja bakal menyediakan kemudahan kesihatan bertaraf antarabangsa, malah menjadi mercu tanda baharu dalam pembangunan sektor kesihatan di Johor.

“Saya berharap lebih banyak pelaburan tempatan akan terus masuk ke negeri ini pada masa akan datang,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda