Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Kejohanan Catur JIWA@MADANI Elemen Pupuk Perpaduan Kaum Sempena Hari Malaysia

By 16 September 2025Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Andi Abdul Rohim/Muhammad Fakhri Md Nor (Manjung)

MANJUNG, 16 Sep (MalaysiaAktif) – Seramai 57 pelajar pelbagai kaum dari sekolah sekitar daerah Manjung menyertai Kejohanan Catur JIWA@MADANI Bawah 15 Tahun yang berlangsung di Sekolah Rendah Al-Hidayah Seri Manjung, semalam.

Kejohanan anjuran Komuniti MADANI Seri Manjung, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Al-Hidayah Seri Manjung serta Kelab Rukun Tetangga (KRT) Manjung Point Seksyen 4 dan 5 itu bukan sahaja menjadi platform mengasah bakat generasi muda, malah turut memupuk semangat perpaduan selari dengan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Pengarah Pertandingan, Nazidatulsima Najamuddin berkata penganjuran tersebut berjaya mengeratkan kerjasama antara pihak sekolah, komuniti dan masyarakat setempat dengan sokongan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Manjung.

“Selain memberi peluang kepada kanak-kanak mengasah bakat dalam sukan catur, kejohanan ini juga mengukuhkan semangat perpaduan dan kerjasama pelbagai pihak. Terima kasih kepada jawatankuasa pelaksana serta semua peserta yang menjayakan program ini,” katanya.

Beliau menambah, kejohanan itu juga bertujuan menanam minat terhadap sukan catur di peringkat akar umbi, selaras dengan kedudukannya sebagai salah satu acara rasmi dalam Sukan Malaysia (SUKMA).

-RI

Tinggalkan komen anda