
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Yahya Kiprawi (Johor)
JOHOR BAHRU, 29 Sep (MalaysiaAktif) – Kejohanan Memanah Antarabangsa Johor 2025 (Johor International Archery Tournament 2025) melabuhkan tirainya kelmarin selepas berlangsung selama enam hari di Lapang Sasar Memanah Mutiara Rini, bermula 23 September lepas.
Edisi kali ini mencuri tumpuan apabila pasukan pelapis negara berjaya menundukkan skuad podium kebangsaan, sekali gus memberi kejutan besar dalam arena memanah tanah air.

Kejohanan enam hari itu menghimpunkan hampir 300 peserta termasuk dari India, Indonesia, Vietnam, Singapura, Sabah dan Sarawak.
Presiden Persatuan Memanah Negeri Johor Datuk Pandak Ahmad berkata pencapaian tersebut suatu perkembangan positif yang membuktikan peningkatan prestasi pemanah tempatan.
“Kejohanan kali ini membuktikan bahawa skuad kebangsaan tidak kebal daripada ditewaskan. Pemanah pelapis menunjukkan fokus, disiplin serta keberanian yang tinggi untuk bersaing dengan mereka yang pernah bergelar terbaik negara.
“Ini menjadi motivasi besar kepada semua kerana jika mereka bekerja keras dan mendengar arahan jurulatih, kejayaan bukanlah sesuatu yang mustahil,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupan kejohanan.

Kejutan pasukan pelapis bukti pemanah muda mampu bersaing ke podium – Pandak Ahmad.
Beliau menambah kejutan yang dipamerkan pasukan pelapis itu juga membuktikan bahawa pemanah biasa mampu bersaing sehingga ke podium, sekali gus menandakan kemunculan bakat baharu yang bersedia menggalas cabaran lebih besar pada masa depan.
“Kehadiran atlet antarabangsa turut memberi peluang keemasan kepada pemanah tempatan menimba pengalaman berharga dalam suasana persaingan bertaraf dunia, sekali gus menguji kemampuan mereka di pentas antarabangsa,” katanya.
Kejohanan enam hari itu menghimpunkan hampir 300 peserta termasuk dari India, Indonesia, Vietnam, Singapura, Sabah dan Sarawak.
-RI





