Skip to main content
Berita TempatanSarawak

KMJG Bawa Mesej Cinta Negara dan Perpaduan ke SMK Paku, Bau

By 9 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Sumardi Sugiman/ Jackson Abell (Sarawak)

BAU, 9 Sep (MalaysiaAktif) – Suasana di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paku hari ini meriah dengan kehadiran lebih 300 peserta sempena sambutan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 bagi fasa keempat program berkenaan.

Peserta terdiri daripada pelajar dan tenaga pengajar SMK Paku, Komuniti MADANI Daerah Bau, serta kakitangan pelbagai jabatan kerajaan yang tampil menyemarakkan semangat cintakan negara melalui pelbagai aktiviti kenegaraan.

Ucapan Pengetua SMK Paku, Anek Apok yang menyatakan rasa bangga kerana sekolah beliau dipilih sebagai persinggahan konvoi KMJG di Bau.

Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa penganjuran KMJG merupakan platform penting dalam menyemai semangat kenegaraan, perpaduan dan cinta tanah air dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda tanpa mengira latar belakang.

“Program KMJG membawa banyak impak positif kepada komuniti tempatan melalui penghayatan Rukun Negara, penghormatan terhadap lagu Negaraku dan Jalur Gemilang, selain memperkukuh jati diri rakyat dengan nilai-nilai murni citra Malaysia,” jelas beliau.

Tambah Eddy, penglibatan aktif pelbagai pihak dalam menjayakan program tersebut mencerminkan semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan warga Bau, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Eddy menyempurnakan pelepasan Konvoi KMJG 2025 yang menuju ke Daerah Lundu.

Terdahulu, beliau bersama ketua-ketua jabatan dan Komuniti MADANI Daerah Bau menyambut ketibaan konvoi yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, Dr. Nicholas Belawing Ibas, disertai dengan kibaran Jalur Gemilang.

Acara kemuncak menyaksikan Eddy menyempurnakan majlis pelepasan konvoi yang meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya di Lundu.

Antara pengisian menarik sepanjang program termasuklah penyerahan Jalur Gemilang, nyanyian lagu-lagu patriotik, kuiz kenegaraan, dan pelbagai aktiviti bertemakan semangat kebangsaan.

Sementara itu, Pengetua SMK Paku, Anek Apok turut melahirkan rasa syukur dan teruja atas pemilihan sekolah tersebut sebagai lokasi sambutan KMJG.

-RJ-

Tinggalkan komen anda