
Laporan/ foto: Boniface Watt Su/ Ignatius Golen Sugai (Sarawak)
PAKAN, 10 Sep (MalaysiaAktif)– Semangat patriotisme masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan terserlah melalui penganjuran Program JIWA@Komuniti MADANI sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 di Komuniti MADANI Rumah Entengan Tubai Buah, di sini, semalam.

Boniface Watt Su (kiri) menjelaskan cara pemasangan Jalur Gemilang yang betul kepada Tuai Rumah Kapat Ayum.
Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Pakan itu mendapat sambutan baik malah pengunjung yang hadir berpandangan program berkaitan HKHM sememangnya bertepatan dengan inisiatif memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
Seperti di beberapa lokasi lain, Program JIWA@Komuniti MADANI HKHM itu turut menekankan semangat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda memartabatkan lambang kemegahan negara.
“Kempen kibar Jalur Gemilang yang dijalankan pihak kerajaan melalui Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang atau 1R1JG masih berjalan sehinggalah ke Hari Malaysia nanti.
“Sehubungan itu, saya berharap aktiviti mengibarkan Jalur Gemilang menjadi rutin masyarakat di sini sebagai tanda setia kepada negara,” kata Pegawai Penerangan Daerah Pakan Thomas Mandang ketika menyampaikan ucapannya pada majlis tersebut.

Entengan (empat kiri) menyerahkan cenderamata kepada Thomas selepas selesainya program.
Beliau juga memakmulmkan tema HKHM 2025 iaitu Malaysia MADANI : Rakyat Disantuni yang mencerminkan komitmen kerajaan dalam membina masyarakat penyayang dan inklusif, selari dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur 2030.
Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Rumah Entengan Tubai Buah, Entengan Matek berkata program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) membuktikan rakyat negara ini sentiasa bersatu hati mengibarkan lambang kebanggaan negara yang bukan sekadar sehelai bendera tetapi ia membawa makna yang cukup besar membabitkan maruah dan kedaulatan negara.
-RJ-





