Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanKedah

NADI Wadah Perkongsian Informasi Komuniti

By 5 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)

PENDANG, 5 Sep (MalaysiaAktif) – Pusat Sebaran Maklumat Nasional atau lebih dikenali sebagai NADI merupakan salah satu inisiatif kerajaan bukan sahaja dalam memperkukuh penyebaran maklumat serta meningkatkan tahap literasi digital masyarakat, malah berperanan sebagai lokasi capaian informasi, platform perkongsian ilmu, pembangunan modal insan dan penghubung rakyat dengan dasar-dasar kerajaan.

Samat (kiri) bersama Pengurus NADI dan kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Pendang.

Peranan NADI juga tidak terhenti pada aspek pendidikan semata-mata, bahkan turut meliputi pembangunan ekonomi melalui program bimbingan keusahawanan, latihan pemasaran digital serta perkongsian peluang perniagaan kepada usahawan-usahawan kecil untuk memperluas jaringan mereka ke pasaran yang lebih luas.

Komuniti MADANI Pekan Pendang semalam telah mengadakan sesi lawatan ke NADI Kampung Bukit Raya Dalam dan mendapat pendedahan secara dekat mengenai fungsi serta peranan pusat berkenaan sebagai wadah perkongsian maklumat masyarakat setempat.

Salah seorang pengunjung, Samat Salleh, 56, berkata melalui sesi lawatan ini, orang ramai berpeluang melihat sendiri kemudahan yang disediakan di NADI termasuk akses Internet, komputer, sudut bacaan dan ruang interaktif yang menjadi tumpuan masyarakat setempat.

NADI juga menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan asas percuma.

“Petugas NADI membantu memberi penerangan mengenai pelbagai program yang dijalankan di sini seperti kursus keusahawanan, latihan teknologi maklumat serta pelbagai aktiviti komuniti yang bertujuan memperkukuh pengetahuan dan kemahiran masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, Penyelaras lawatan Komuniti MADANI dari Pejabat Penerangan Daerah Pendang Armizie Hanazifs Ahmad berharap agar kunjungan Komuniti MADANI ke NADI bukan sahaja dilakukan pada hari ini dan tidak hanya diselaraskan oleh Pejabat Penerangan, malah boleh diteruskan secara berterusan oleh masyarakat setempat pada masa akan datang.

“NADI seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pusat sehenti informasi dan platform perkongsian ilmu yang memberi banyak manfaat kepada komuniti,” ujarnya.

-RI

Tinggalkan komen anda