
Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/Rosdin Sabni (Kementerian Komunikasi)
PUTRAJAYA, 25 Sep (MalaysiaAktif) – Orang ramai diminta membuat semakan kelayakan penghargaan subsidi petrol RON95 melalui inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
“Tuan-tuan dan puan-puan yang mungkin belum membuat semakan kelayakan, boleh pergi ke laman web (sesawang) BUDI95 ataupun budimadani.gov.my.
“Dan pada masa yang sama, boleh pergi juga ke budi95.gov.my yang mana kita boleh semak kelayakan dan baca soalan-soalan lazim,” kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Bagi Bulan September 2025, di sini pagi tadi.
Katanya, inisiatif yang diusahakan kerajaan itu adalah bagi memastikan hanya rakyat Malaysia yang menerima manfaat.
Menurutnya Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diminta meneliti Frequently Asked Questions – FAQ (Soalan Lazim) di laman sesawang berkaitan bagi membantu memberi penerangan yang jelas dan tepat kepada orang ramai.
“Jadi, kita tolong cek, tolong semak, boleh pergi ke budi95.gov.my untuk buat semakan kelayakan dan juga mendapat jawapan kepada soalan-soalan lazim,” katanya.
Fahmi ketika menjawab soalan wartawan, berkata laman sesawang budi95.gov.my turut menyediakan soalan beserta jawapan berkaitan penyasaran subdidi RON95.
“Jadi soalan-soalan ini ada disediakan jawapan, lebih 36 muka surat,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyasaran RON95 menerusi BUDI95 yang menyaksikan harga jualan bahan bakar itu dikurangkan daripada RM2.05 seliter kepada RM1.99 secara berperingkat mulai 27 September ini melibatkan anggota polis dan tentera.
Pada 28 September, BUDI95 akan dinikmati penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebelum diperluas kepada 16 juta rakyat Malaysia pada 30 September berpandukan data Jabatan Perangkaan Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Pelaksanaan BUDI95 tidak memerlukan pendaftaran semula, sebaliknya hanya menggunakan MyKad dan lesen memandu yang sah.
-RI





