
Laporan/foto: Noor Aini/Siti Nur Balqis
ARAU, 30 Sep (MalaysiaAktif) – Satu sesi perjumpaan dan taklimat undang-undang bagi mencegah kes buli dalam kalangan pelajar telah berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hussein, di sini semalam.

Detektif yang akan berhubung dengan pihak pendidikan.
Program anjuran bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dan Jabatan Agama Islam Negeri Perlis itu memberi fokus kepada langkah pencegahan, penerangan undang-undang serta peranan komuniti pendidikan dalam membanteras gejala buli di sekolah dan institusi tahfiz.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Perlis ACP Wari Kiew berkata kes buli perlu ditangani sedari awal bagi memastikan keselamatan pelajar.
“PDRM komited untuk bekerjasama dengan JPN, sekolah, ibu bapa dan komuniti bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat serta bebas daripada gejala negatif ini.
“Beberapa tindakan proaktif sedang dan akan dilaksanakan antaranya adalah Detektif Jenayah di negeri Perlis, bekerjasama dengan penyelia asrama sekolah untuk mengenal pasti pelajar berisiko menjadi pembuli serta mengambil langkah pencegahan awal,” katanya.

Kolaborasi semua pihak diperlukan bagi membendung budaya buli.
Menurutnya lagi, terdapat cadangan seperti mengadakan rondaan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta peronda polis (MPV) secara berkala di sekolah, asrama dan maahad tahfiz bagi menjamin keselamatan pelajar.
Katanya, usaha membanteras kes buli memerlukan penglibatan menyeluruh dan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) berperanan menyampaikan peruntukan undang-undang dan mengetahui maklumat berkaitan kes buli secara berterusan.
-RI





