
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Mohd Jafni Md Shukor (Johor)
JOHOR BAHRU, 30 Sep (MalaysiaAktif) – Dua projek menaik taraf infrastruktur tebatan banjir di bandar raya ini mula mencatatkan perkembangan positif, sekali gus diyakini mampu mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan tumpuan apabila siap sepenuhnya pada Januari tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata projek pertama melibatkan kerja-kerja menaik taraf pintu air, sistem pam dan pembetung yang merentasi Jalan Persiaran Abu Bakar Sultan dengan kos RM9.8 juta.

Dua projek menaik taraf infrastruktur tebatan banjir di bandar raya ini diyakini mampu mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan tumpuan.
“Projek yang dilaksanakan di kawasan downstream Sungai Chat ini telah mencapai tahap 72 peratus kemajuan fizikal.
“Apabila siap sepenuhnya kelak, ia dijangka mampu mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan Kampung Mohd Amin, Jalan Kolam Ayer dan sekitarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi projek kedua, Mohd Jafni berkata ia melibatkan kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di Jalan Dato’ Sulaiman, Taman Abad, yang sering terdedah kepada banjir kilat terutama ketika hujan lebat.
“Dengan peruntukan RM7.7 juta, projek ini telah mencapai 40 peratus status fizikal dan dijangka siap pada Januari 2026. Peningkatan kapasiti perparitan di kawasan ini amat penting kerana ia menghubungkan laluan utama serta kawasan tumpuan ekonomi dan kediaman,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua projek berkenaan bukan sahaja meningkatkan keupayaan infrastruktur tebatan banjir, malah memberi manfaat terus kepada puluhan ribu penduduk bandar raya Johor Bahru.

Projek berkenaan melibatkan kerja-kerja menaik taraf pintu air, sistem pam serta pembetung di Jalan Persiaran Abu Bakar Sultan, selain menaik taraf sistem perparitan di Jalan Dato’ Sulaiman, Taman Abad.
“Dengan adanya projek ini, kos kerugian harta awam dan swasta dapat diminimumkan, keselamatan pengguna jalan raya lebih terjamin serta kualiti hidup masyarakat setempat dapat ditingkatkan,” katanya.
Mohd Jafni menegaskan usaha tersebut adalah sebahagian daripada strategi menyeluruh kerajaan negeri Johor dalam menangani isu banjir di kawasan hotspot, selaras dengan komitmen Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menekankan pembangunan infrastruktur bandar digerakkan secara bersepadu, berasaskan data dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.
Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Datuk Mohd Haffiz Ahmad.
-RI





