
Laporan/foto: Muhammad Hafiz Izham (Sik)
SIK, 9 Sep (MalaysiaAktif) – Pendaftaran mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) perlu menggunakan aplikasi MyIBJKM.

Demo cara penyediaan makanan ketika banjir.
Penceramah daripada Bahagian Kebajikan Produktif, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Shamsul Bahari, memaklumkan proses pendaftaran mangsa banjir di PPS perlu dilakukan di aplikasi MyIBJKM yang mudah diakses.
“Aplikasi ini bukan sahaja memudahkan mangsa banjir, malah membantu agensi terlibat khususnya JKM dalam mendapatkan maklumat dengan lebih cepat dan tepat,” ujarnya di Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta Kempen Pendaftaran Awal Mangsa Bencana Siri 2 Tahun 2025 di Dewan Saujana, Sekolah Kebangsaan Kampung Betong, di sini semalam.
Program yang dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah (JKM) dengan kerjasama secara kolaborasi pelbagai agensi kerajaan ini diadakan bagi memberi pendedahan awal kepada sukarelawan JKM, para pemimpin tempatan serta agensi berkaitan mengenai prosedur operasi dan pengurusan di PPS.

Majlis penutup bersama Pegawai Daerah Sik Faizal Rizal Mohammad.
Pelbagai isu semasa berkaitan cabaran, penambahbaikan dalam pengurusan PPS, aspek kesiapsiagaan dan pengurusan bencana yang diperjelaskan oleh penceramah berpengalaman daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Program disertai wakil JKM dari daerah Baling, Kulim, Bandar Baharu dan Sik, sukarelawan tempatan, penghulu mukim, anggota RELA, APM Sik, Jabatan Penerangan, Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Ketua Kampung (MKK) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
-RI





