Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Penganjuran Regata Sosial Pulau Rebak Pemangkin Pelancongan Nautikal Langkawi

By 9 September 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sobri Manan (Langkawi)

LANGKAWI, 9 Sep (MalaysiaAktif) – Penganjuran Regata Sosial Pulau Rebak (RISR) 2025 yang berlangsung dari 4 hingga 7 September lalu membuktikan keupayaan Langkawi sebagai destinasi pelancongan nautikal terkenal di rantau ini.

Acara berprestij itu menghimpunkan pelayar dari dalam dan luar negara dengan lebih 70 buah bot pelbagai kelas mengambil bahagian dalam perlumbaan di sekitar perairan Langkawi.

Selain memperlihatkan kehebatan sukan pelayaran, program turut menjadi platform memperkenalkan kemudahan marin bertaraf dunia yang dimiliki pulau legenda berkenaan antaranya Rebak Island Resort dan Marina Langkawi, Kelab Kapal Layar Diraja Langkawi (RLYC) dan Pelabuhan Telaga.

Signal dan Susanne dari ‘Dark Horse’ selaku juara Regata Sosial Pulau Rebak (RISR) 2025.

Kemeriahan regata itu turut diserikan dengan aktiviti sampingan seperti flea market (pasar lambak), persembahan kebudayaan dan jamuan bertema bukan sahaja meningkatkan daya tarikan acara, malah ianya menyuntik nilai tambah kepada sektor pelancongan tempatan.

Kehadiran pelayar, penyokong dan pelancong antarabangsa sekali gus merancakkan ekonomi setempat melalui perkhidmatan perhotelan, makanan dan perkhidmatan marin.

Menurut Pengurus Besar Kluster Rebak Island Resort dan Marina Langkawi Hafiz Hashim, regata itu bukan sekadar pertandingan tetapi simbol penyatuan komuniti maritim antarabangsa dengan masyarakat tempatan.

“Melalui semangat perpaduan dan kerjasama, acara ini diyakini mampu memperkukuh lagi imej Langkawi sebagai pelancongan nautikal  bertaraf dunia setanding dengan destinasi popular seperti Phuket dan Maldives.

“Dengan sokongan padu daripada kerajaan negeri, pihak berkuasa pelancongan dan penaja swasta, RISR kini dilihat sebagai pemangkin utama yang memperkukuh kedudukan Langkawi dalam peta pelancongan nautika antarabangsa, sekali gus menyokong agenda pembangunan ekonomi pelancongan negara,” katanya, di sini kelmarin.

SY Niobe dari Jerman diketuai Oleg Sven Kaiser di tempat ketiga dalam kelas Monohull.

Majlis penutup menyaksikan kapal layar ‘Dark Horse’ yang didaftarkan di New Zealand berjaya mengekalkan kejuaraan dalam kelas Multihull pada RISR 2025 yang melabuhkan tirai di Rebak Island Resort dan Marina Langkawi, semalam.

Kumpulan yang diketuai Nigel Signel itu mendahului dengan tiga mata, menewaskan pencabar terdekat, Freedom dari Belanda yang dikemudi oleh Rudolf Heemskerk di tempat kedua manakala tempat ketiga menjadi milik Tri dari Australia yang dikemudi oleh Cameron Robinson.

Dalam kelas Monohull, kejayaan berpihak kepada pasukan tempatan Telaga 99 Sail/SSL yang diketuai Khairulnizam Mohd Afendy selepas menewaskan pesaing terdekat, Kimi Kimi dari New Zealand di bawah pimpinan James Duke yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Kapal layar SY Niobe dari Jerman yang dikemudi Sven Kaiser pula menamatkan saingan di tempat ketiga.

Sementara itu, Regata Belia Pulau Rebak (RIJR) 2025 yang berlangsung serentak turut menyaksikan bakat muda negara menyerlah.

Pelayar muda Sabah, Muhammad Asnawi Iqbal Adam dinobatkan juara kelas Laser Radial (ILCA 7), manakala pelayar Pahang, Nur Alia Amera Mohamad Latif mendominasi kelas ILCA 6. Kejayaan turut berpihak kepada Iqbal Nazham Musmuliadi yang muncul juara dalam kategori ILCA 4.

Dalam kategori Optimist A, pelayar Kedah Khairul Ilzani Mohd Afendy mengungguli perlumbaan, sekali gus mengharumkan nama negeri kelahirannya di pentas regata berprestij ini.

Secara keseluruhan, sebanyak 96 bot dengan 107 pelayar berusia antara 7 hingga 17 tahun mengambil bahagian di bawah naungan Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) bagi kategori belia sekali gus mencerminkan masa depan cerah pelayaran negara di peringkat antarabangsa.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan (Pengurusan Tanah) Langkawi Zulkifli Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sukan Majlis Sukan Negara Mohd Sofian Hashim di RIRM.

-RI

Tinggalkan komen anda