Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanPerak

Perak Tubuh Majlis TVET Negeri, Realisasikan Impian Menjadi Koridor TVET Negara

By 23 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sarah Nur Saad (Perak)/Bahagian Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak

IPOH, 23 Sep (MalaysiaAktif) – Negeri Perak memberikan penumpuan khusus dalam meningkatkan kemahiran modal insan menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, kerajaan negeri berpandangan positif untuk menjadikan TVET sebagai salah satu laluan golongan muda bagi membina kerjaya sekali gus meningkatkan kemajuan negeri.

Katanya, negeri Perak sangat memerlukan tenaga mahir dan separa mahir bagi mendepani agenda utama dalam membangunkan pelbagai projek berimpak tinggi.

“Kesemuanya membawa pelaburan berbilion ringgit serta menjanjikan puluhan ribu peluang pekerjaan dan oleh itu, kita tidak mahu peluang pekerjaan ini disambar oleh orang luar, sedangkan anak Perak hanya menjadi penonton,” ujarnya ketika berucap di perkarangan Stadium Indera Mulia di sini sempena Majlis Kemuncak Karnival Mesra Anak Muda (KAMU), kelmarin.

Tambah Saarani Mohamad, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif bagi menubuhkan Majlis TVET Negeri dalam merealisasikan matlamat untuk menjadi Koridor TVET Negara.

“Kita sedang memperkasa institut-institut TVET sedia ada di Perak, hampir 100 buah kesemuanya dan kita telah hantar anak-anak muda Perak ke luar negara termasuk China dan Jerman untuk mereka mendalami dan menguasai kemahiran dalam segenap bidang.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa satu kerjasama telah diwujudkan bersama-sama pihak industri bagi mengadakan program khusus sebagai pendedahan kerjaya kepada pelajar sekolah menengah manakala untuk graduan TVET, laluan pekerjaan turut diberikan.

Turut hadir Pegawai Kewangan Negeri Datuk Mohd Zaki Mahyudin, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar merangkap Pengarah KAMU 2025 Mohamad Hamidi Baharuddin, Pengurus Besar PORT merangkap Pengarah bersama KAMU 2025 Nur Hanim Khairuddin serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

-RI

Tinggalkan komen anda