
Laporan/foto: Mohammad Rasuli/Wan Izati (Bagan Datuk)
BAGAN DATUK, 12 Sep (MalaysiaAktif) – Program Semarak Merdeka dan Sambutan Hari Malaysia Daerah Bagan Datuk 2025 menutup tirai sambutan Bulan Kebangsaan bagi daerah ini.

Yosri Abu Mahsin (dua dari kiri) bersama orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang di program Semarak Merdeka dan Sambutan Hari Malaysia Daerah Bagan Datuk 2025 sebagai tanda cintakan negara.
Pegawai Daerah Bagan Datuk Nazrul Fazami Mohamad, berkata program tersebut merupakan penutup kepada siri sambutan kemerdekaan di daerah yang sebelum ini melibatkan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI, Sambutan Maal Hijrah serta Pertandingan Premis Paling Ceria.
“Majlis dimulakan dengan aktiviti senamrobik, perarakan merdeka dan persembahan pantomim yang mendapat penyertaan pelbagai agensi kerajaan, pelajar sekolah serta penduduk sekitar daerah.
“Terima kasih kepada semua jabatan yang sentiasa komited menjayakan setiap program yang dirancang,” katanya di program yang berlangsung meriah di Pekan Bagan Datuk, di sini kelmarin.

Persembahan pantomim Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Datuk antara yang mendapat sambutan khalayak.
Sementara itu, Pengarah Penerangan Negeri Perak Yosri Abu Mahsin, mengucapkan tahniah atas penganjuran tersebut dan mengajak masyarakat menghayati tema kemerdekaan tahun ini, ‘Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni’.
“Kita juga harus bersyukur dengan nikmat kemerdekaan yang dikecapi serta berterima kasih kepada pejuang terdahulu yang telah berkorban agar kita dapat hidup aman dan bebas pada hari ini,” ujarnya ketika merasmikan program berkenaan.
Program turut dihadiri Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Khairuddin Tarmizi.
-RI






