Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Rakyat Tidak Perlu Gusar Kibarkan Jalur Gemilang – PPD Sri Aman

By 9 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Iswandi Kassim Foto/ Margaret Jana (Sarawak)

SRI AMAN, 9 Sep (MalaysiaAktif) – Rakyat Malaysia tidak perlu berasa takut atau gusar untuk mengibarkan Jalur Gemilang meskipun terdapat sentimen negatif segelintir pihak yang cuba menakut-nakutkan masyarakat dengan isu pemasangan bendera terbalik atau tidak mengikut tatacara.

Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman Safariza Bujang berkata Jalur Gemilang adalah lambang maruah serta kedaulatan negara yang perlu dihormati dan dipertahankan oleh semua pihak tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.

“Sebagai simbol yang mengikat rakyat dengan negara, tidak seharusnya dibiarkan sentimen negatif melemahkan semangat kita sebaliknya mengibarkan Jalur Gemilang perlu diraikan, bukan ditakuti,” katanya ketika merasmikan program JIWA@Komuniti MADANI Sembang Santai dan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) Komuniti MADANI Sungai Mansau di Rumah Bonny Anak Minson, Pantu, Ahad lepas.

Safarariza (dua kanan) menekankan agar semua pihak untuk jangan risau untuk mengibarkan Jalur Gemilang walaupun adanya isu sensitif kebelakangan ini.

Safariza juga menjelaskan isu pemasangan bendera terbalik atau rosak sememangnya perlu dielakkan, namun sebarang kesilapan yang tidak disengajakan tidak wajar dijadikan alasan untuk menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Pihak berkuasa perlu tampil memberi jaminan serta penjelasan kepada rakyat bahawa mengibarkan Jalur Gemilang adalah amalan terpuji dan hanya kesalahan disengajakan dengan niat menghina negara wajar dikenakan tindakan,” jelasnya lagi.

Beliau turut menekankan bahawa naratif positif dan kempen kesedaran melalui media sosial, video pendek, poster, infografik serta inisiatif komuniti perlu diperkasakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Penerangan Malaysia dan media arus perdana.

“Jika tidak ditangani dengan baik, sentimen negatif terhadap Jalur Gemilang boleh menghakis semangat patriotisme rakyat, malah berpotensi memecah-belahkan perpaduan yang sekian lama kita pupuk,” katanya.

Sambutan Bulan Kebangsaan yang semakin rancak menyaksikan ramai rakyat tetap bersemangat menghiasi bangunan, kediaman dan pejabat dengan Jalur Gemilang, sekali gus membuktikan majoriti rakyat masih mengagungkan bendera kebangsaan sebagai simbol kebanggaan negara.

-RJ-

Tinggalkan komen anda