Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Sekolahku Selamat, Hatiku Tenang – Keselamatan Murid Tanggunjawab Bersama Semua Pihak

By 8 September 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Siti Rahimah Ajis/ Mathilda Sempon (Sarawak)

JULAU, 8 Sep (MalaysiaAktif) – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau dengan kerjasama SJK(C) Yuk Kung telah menganjurkan Program Keselamatan Sekolah bertemakan “Sekolahku Selamat, Hatiku Tenang” berlangsung di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Julau DSP Alif Haiqal menyampaikan ucapan Program Keselamatan Sekolah.

Menurut Ketua Polis Daerah Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh bin Abdullah, 50, program ini merupakan julung kali diadakan di SJK(C) Yuk Kung yang membawa pendekatan menyantuni warga sekolah melalui pendedahan mengenai keselamatan, peranan IPD, mengenali polis Julau dan agensi-agensi sahabat.

“Keselamatan murid adalah tanggungjawab bersama di mana kita mahu ibu bapa, guru dan masyarakat memahami bahawa pencegahan jenayah perlu bermula dari persekitaran sekolah yang selamat,” kata Alif Haiqal.

Dalam pada itu, beliau juga memberi penekanan terhadap usaha membanteras isu buli dalam kalangan pelajar dan berharap semua pihak memandang serius kepada isu tersebut.

“Melalui kempen Cegah Buli ini, kita mahu mendidik murid agar lebih berani menolak budaya tersebut serta belajar menghormati antara satu sama lain.

“Saya berharap program ini tidak terhenti di sini sahaja kerana kita mahu semua sekolah mendapat manfaat daripada inisiatif ini demi melahirkan generasi yang lebih peka terhadap keselamatan dan bebas daripada gejala negatif,” jelasnya lagi.

Murid-murid gembira diberi peluang melihat sendiri aset Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Program ini terbahagi kepada empat segmen utama, dimulakan dengan ceramah keselamatan oleh Pegawai Perhubungan Sekolah IPD Julau dan ceramah mengenai nilai-nilai murni kewarganegaraan oleh Guru PKHEM sekolah.

Segmen kedua memberi peluang kepada murid-murid mengunjungi ruang pameran aset keselamatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Meradong dan Kementerian Kesihatan.

Segmen ketiga pula memberi manfaat kepada guru, warga polis dan ibu bapa menerusi saringan kesihatan yang dikendalikan oleh Klinik Kesihatan Julau dan acara kemuncak program ialah sukaneka yang melibatkan murid Tahun 1 hingga Tahun 6 bersama guru, anggota polis dan ibu bapa.

Pengalaman istimewa murid-murid menaiki kereta PDRM.

Selain meningkatkan kesedaran keselamatan di sekolah, program ini turut memberi fokus kepada isu semasa khususnya kempen “Cegah Buli”, agar persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, harmoni dan kondusif dapat diwujudkan selaras dengan tema “Sekolahku Selamat, Hatiku Tenang.”

Prpgram tersebut mendapat sokongan padu daripada agensi kerajaan iaitu Klinik Kesihatan Julau, Jabatan Bomba dan Penyelamat Meradong dan Pejabat Penerangan Daerah Julau serta kerjasama sektor swasta iaitu Hong Leong Bank, Bintangor.

Program ini telah mendapat sambutan baik daripada murid, guru, ibu bapa dan komuniti setempat, sekali gus memperkukuhkan hubungan antara PDRM dan masyarakat di daerah Julau.

-RJ-

Tinggalkan komen anda