
Laporan/foto: Lyana Athirah Mohd Saad/Noor Syuhada Mohd Yasin (Pokok Sena)
ALOR SETAR, 6 Sep (MalaysiaAktif) – Sambutan Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan peringkat Masjid Al-Ikhlas, Taman Nuri disambut meriah dengan penglibatan muslimah kelas pengajian Al-Quran dan kumpulan bacaan Yassin bersama masyarakat setempat.

Peserta berarak mengelilingi Masjid Al-Ikhlas sambil berselawat.
Program dimulakan dengan perarakan mengelilingi kawasan masjid sambil berselawat serta mengibarkan Jalur Gemilang yang turut disertai golongan kanak-kanak, sekali gus menyemarakkan suasana sambutan.
Pengerusi Kelas Pengajian Al-Quran Masjid Al-Ikhlas Taman Nuri Fauziah Hanafiah, berkata sambutan ini bukan sahaja meraikan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW tetapi juga memperkukuhkan semangat cintakan tanah air.

Penyelaras Komuniti MADANI DUN Derga, menyampaikan taklimat etika pemasangan Jalur Gemilang
“Walaupun dalam suasana sederhana, nilai Maulidur Rasul dan semangat kemerdekaan yang kita semai ini memberi makna yang besar dalam membentuk masyarakat berakhlak, bersatu dan berjiwa patriotik,” katanya, di sini semalam.
Sementara itu, Penyelaras Komuniti MADANI DUN Derga Lyana Athirah Mohd Saad turut menyampaikan taklimat mengenai etika pemasangan dan pelupusan Jalur Gemilang sebagai langkah memupuk kesedaran masyarakat untuk menghormati simbol negara.
Program ini dianjurkan hasil kerjasama antara Komuniti MADANI dengan masyarakat setempat dan menjadi wadah mempererat ukhuwah dalam kalangan penduduk Taman Nuri.
-RI






