
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini Mohamad
KUALA TERENGGANU, 7 Sep (MalaysiaAktif) – Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah agar umat Islam menjiwai nilai murni Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.
Baginda bertitah penghayatan itu perlu dihidupkan sama ada dalam kehidupan berkeluarga, dunia pekerjaan mahupun masyarakat bagi membentuk sebuah komuniti harmoni, sejahtera dan berpaksikan ajaran Islam sebenar.

Koperasi Kariah Masjid Padang Nenas, Kuala Terengganu Berhad menerima Anugerah Kategori Koperasi Masjid Terbaik yang disampaikan oleh KDYMM Sultan Terengganu.
“Hanya dengan semangat ini, kita mampu membina masyarakat yang harmoni, bersepadu dan sejahtera berpandukan ajaran Islam sebenar,” titah baginda pada sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Turut berkenan berangkat ialah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka-paduka anakanda diraja.
Baginda turut mengingatkan agar amalan warisan Islam Melayu yang pernah subur di Terengganu dihidupkan kembali, termasuk bacaan rawi, marhaban dan berzanji di masjid, surau, institusi pendidikan serta majlis komuniti sebagaimana yang diperkukuh pada zaman pemerintahan Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III khususnya ketika bulan Rabiulawal.
“Bacaan ini bukan hanya sebahagian daripada tradisi warisan Melayu Islam tetapi menjadi satu daripada
medium dakwah, pendidikan nilai dan rohani serta pengukuhan kefahaman kepada sirah Baginda (Nabi
Muhammad SAW),” titah baginda.

Antara jemputan yang hadir di Majlis Sambutan Maulidur Rasul Negeri Terengganu.
Sambutan turut diserikan dengan penganugerahan kepada institusi dan komuniti cemerlang. Antara penerima Tanah Perkuburan Terbaik Tanah Perkuburan Islam Alor Lintang, Besut, Sekolah Menengah Agama Terbaik Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu, Besut dan Koperasi Masjid Terbaik Koperasi Kariah Masjid Padang Nenas, Kuala Terengganu Berhad.
Sambutan Maulidur Rasul kali ini bukan sahaja memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, bahkan menjadi wahana mengangkat syiar Islam serta memperkukuh jati diri umat dalam semangat Ummah MADANI.
Sambutan tahun ini berlangsung penuh makna dengan tema ‘Membangun Ummah MADANI’, menekankan pembinaan masyarakat berilmu, berakhlak mulia serta berkasih sayang sebagaimana dicontohkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
-RI





